Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Batal kebenaran kibar bendera BN
Diterbitkan:  Apr 14, 2012 12:22 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Dewan Pemuda PAS mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya membatalkan kebenaran yang diberikan kepada BN untuk memasang bendera di stesen komuter kelolaan syarikat itu.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor dipetik lidah parti PAS Harakahdaily sebagai berkata, bendera BN itu akan menimbulkan ketidakselesaan penyokong Pakatan yang menggunakan perkhidmatan komuter.

"Jika bendera BN terus berkibar di stesen komuter, Dewan Pemuda PAS merasa bimbang jika rakyat akan memboikot daripada menggunakan perkhidmatan komuter dan KTM akan menanggung kerugian yang besar nanti," kata Riduan seperti dilaporkan.

Beliau juga menyifatkan langkah memasang bendera di stesen tersebut sebagai tindakan "terdesak" dan "memualkan."

Katanya, rakyat berhak menikmati perkhidmatan tren komuter tanpa mengira jalur politik.

“Ia juga bukan dibina hasil duit dari BN, tetapi ia adalah hasil daripada duit yang disumbangkan oleh rakyat kepada kerajaan,” katanya lagi dalam laporan itu.

Riduan mengulas laporan Malaysiakini berhubung arahan yang dikatakan dikeluarkan pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed supaya pegawai terlibat membenarkan jentera pilihan raya BN memasang bendera itu.

Mohd Zin yang juga merupakan koordinator BN Selangor dalam arahan itu turut dikatakan meminta supaya pegawai berkenaan memelihara bendera berkenaan daripada dibuang atau disabotaj.

ADS