Dua orang lagi peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengadu dipukul oleh jurulatih ketika menjalani program tersebut di Kedah dan Kelantan.

Kejadian pertama berlaku pada hari Khamis lalu di Kem Rimba Taqwa, Sik, Kedah manakala kejadian berikutnya dilaporkan berlaku di Kem Latihan Etnobotani, Gua Musang Kelantan, kelmarin.

Dalam kejadian di Kem Rimba Taqwa, bapa kepada peserta terbabit, Wong Kooi Phin mendakwa kejadian itu berlaku pada jam 3 petang ketika anaknya serta para peserta lain diarahkan melakukan kerja masing-masing di kem tersebut.

"Menurut seorang saksi yang menyaksi kejadian itu, anak saya (Wong Jeng Ran) sedang duduk sendirian apabila seorang jurulatih datang ke arahnya, lalu menumbuk bahagian mukanya," katanya.

Selepas itu, kata beliau, jurulatih tersebut terus menarik tangan anaknya dan mengarahkan supaya duduk bersama sekumpulan peserta Melayu di situ, tetapi anakya enggan berbuat demikian.

Berikutan itu, tambahnya, anaknya menepis tangan jurulatih tersebut, menyebabkan jurulatih itu bertindak menekan badan anaknya ke tanah.

Melihat kejadian itu, katanya, sekumpulan peserta lain tersebut bergegas ke situ untuk membantu jurulatih tersebut.

Pada masa yang sama, katanya, jurulatih tersebut serta peserta berkenaan, bertindak memukul anaknya sehingga mengakibatkan mata dan bahagian mukanya bengkak dan lebam.

Jumpa doktor

Ketika dihubungi malaysiakini , Wong berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya.

Berikutan itu, beliau, ditemani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Keranji, Chen Fook Chye telah pergi ke sana Sabtu lalu dan kemudiannya dibawa berjumpa pengarah kem berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, pengarah berkenaan menasihatkan Wong supaya jangan memperbesar-besar perkara kecil seperti itu, dan enggan membenarkan beliau membawa pulang anaknya.

"Sebelum itu, pengarah berkenaan memanggil anak saya serta seorang lagi peserta yang menyaksikan bagaimana kejadian itu berlaku. Selepas itu saya memohon supaya anak saya diberi cuti rehat, tetapi tidak dibenarkan oleh pengarah kerana menganggapnya sebagai perkara kecil," tegasnya.

Pengarah itu juga, katanya, memberi jaminan untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang terhadap anaknya.

Katanya, doktor yang memeriksa anaknya, mengesahkan dia mengalami kecederaan di lima tempat di bahagian muka, kepala dan badannya.

Tampar

Manakala dalam kejadian di Kem Latihan Taman Etnobotani, Gua Musang pula, seorang peserta PLKN mendakwa dibelasah oleh seorang jurulatihnya kerana dipercayai bergaduh dengan peserta lain.

Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, kejadian itu berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin apabila peserta tersebut bergaduh dengan seorang peserta lain di situ. Kejadian tersebut telah disedari oleh seorang jurulatih dan dapat dileraikan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ishak Abd Majid, mangsa kemudian dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa seorang jurulatih mencarinya berikutan pergaduhan itu.

Mangsa telah pergi menjumpai jurulatih tersebut dan telah tampar dan dan ditumbuk oleh jurulatih itu sehingga terjatuh.

Mangsa juga mendakwa dipijak oleh jurulatih selepas terjatuh akibat dipukul oleh jurulatih terbabit.

Menurut Ishak, mangsa kemudiannya di bawa balik ke khemah dan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Sehubungan itu, katanya, polis menahan empat jurulatih dan 16 peserta dan mereka dibebaskan selepas mengambil keterangan mereka diambil.