Dewan Rakyat bersidang sehingga awal pagi Jumaat bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.

Difahamkan, kali pertama sidang Dewan Rakyat mengalami keadaan serupa ialah ketika perbahasan Ordinan Darurat Kelantan pada 1977.

Persidangan dewan bagi sesi penggal ini ditangguhkan pada jam 3.22 pagi ini selepas 22 hari bersidang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Peraturan Mesyuarat 90(2) digunakan bagi menggantung Peraturan Mesyuarat 12 yang menyatakan semua aturan mesyuarat mesti diselesaikan pada hari yang sama.

"Perkara ini tidak pernah terjadi sejak saya telibat dalam hal ehwal Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Jumaat.

Mohamed Nazri membentangkan usul tersebut sebelum tengah malam tadi ketika Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua.

Ketika usul itu dikemukakan, terdapat 34 anggota Parlimen BN (BN), 17 (pembangkang) dan seorang wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menggugurkan kuasa menteri dalam meluluskan atau menolak lesen mesin cetak ialah rang undang-undang terakhir diluluskan.

Mengikut senarai aturan mesyuarat, Dewan Rakyat perlu meluluskan rang undang-undang tersebut serta lima lagi usul Kementerian Kewangan sebelum sesi Parlimen bagi penggal ini ditangguhkan.

Persidangan yang bermula pada 12 Mac itu menyaksikan 21 rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Jasa Perkasa Persekutuan (Elaun Kenangan) 2012, Rang Undang-Undang Pingat Tentera Udara (Elaun Kenangan) 2012 dan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Selain itu, Rang Undang-Undang Pengantaraan 2012, Rang Undang-Undang Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2012, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012, Rang Undang-Undang Laporan Kewangan (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2012.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2012, Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012, Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012, Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012 dan Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

- Bernama