mk-logo
Berita
PAS P Pinang setuju Malik lepas jawatan YDP MAINPP
Diterbitkan:  Apr 23, 2012 11:17 AM
Dikemaskini: 11:19 AM

PAS Pulau Pinang dilaporkan bersetuju dengan tuntutan Dewan Pemudanya agar Exco Agama, Abdul Malik Abul Kassim melepaskan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang  (MAIPP), lapor Bernama.

    

Berita agensi berita nasional, Bernama memetik Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man sebagai berkata beliau juga berpandangan serupa dengan Pemuda PAS negeri agar PKR menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan YDP MAINPP kepada PAS negeri.

    

"Dewan Pemuda PAS negeri sudah mengemukakan pandangan terbaik dan menyatakan bahawa mereka tidak setuju Abdul Malik memegang jawatan YDP  MAIPP dan mahu melepaskannya, saya akur dengan tuntutan itu serta  menghormatinya," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah  berjanji akan memberikan jawatan tersebut kepada Salleh selaku Pesuruhjaya PAS negeri jika beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dua tahun lepas.

    

Namun selepas kemenangan Salleh, kerajaan negeri Pulau Pinang  melantik Abdul Malik sebagai YDP MAINPP dan Salleh sebagai timbalannya.   

Atas desakan pelbagai pihak termasuk PAS, kerajaan negeri  pimpinan DAP itu kemudian mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong  pada 20 Januari lepas untuk memohon perkenan pelantikan Salleh sebagai YDP MAINPP.

    

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya mahu kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng menjelaskan sama ada jawatan YDP MAINPP telah dikosongkan atau sebaliknya.

"Kalau isu ini pun pakatan tidak boleh tunaikan janji sesama  mereka, bagaimana nak kotakan janji-janji yang mereka buat dalam buku  jingga.

"Inilah mainan politik Pakatan pembangkang dan yang menjadi mangsa adalah PAS, tetapi parti itu (PAS) dan Salleh tidak sedar mereka dipermainkan," katanya.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini