Tidak ada apa-apa tanda tawaran penyelesaian daripada Datuk Mahmud Abu Bekir Taib, anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kepada bekas isterinya walaupun tarikh akhir yang ditetapkan oleh mahkamah telah tamat dua minggu lalu.

NONE Difahamkan peguam Mahmud Abu Bekir belum lagi mengemukakan

cadangan penyelesaian yang dijangka membabitkan jutaan ringgit kepada Shahnaz A Majid, kakak ratu jazz Datuk Sheila Majid.

Mahmud Abu Bekir (kiri dalam gambar) telah diberikan tempoh dua minggu dari 13 Mac untuk mencadangkan penyelesaian. Ia kemudiannya telah dilanjutkan dua minggu lagi yang berakhir pada 13 April, ekoran permohonan bertulis dari peguamnya.

Peguam Shahnaz - Rafie Mohd Shafie - ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, mengesahkan bahawa tidak ada sebarang tawaran penyelesaian diterima setakat ini.

Menurutnya, jika tiada sebarang tawaran dibuat, maka perbicaraan akan diadakan dan pihaknya bersedia untuk menghadapinya.

"Pihak sana ingat kita tidak tahu asetnya, tetapi kita tahu," katanya.

Selain Rafie, peguam Akbardin Abdul Kader, yang juga merupakan peguamcara untuk Shahnaz, turut mengesahkan belum ada tawaran penyelesaian dikemukakan kepada mereka.

Mahmud Abu Bekir diwakili peguam Saadiah Din dan Zainul Rijal Abu Bakar. Mereka telah menulis surat kepada peguam Shahnaz meminta lanjutan tempoh dua minggu sebagai 27 Mac, yang telahpun berakhir.

Tempoh lanjutan kedua berakhir pada 11 hari yang lalu tanpa sebarang tawaran penyelesaian dibuat - sama ada secara lisan atau bertulis - daripada peguam Mahmud Abu Bekir.

NONE Namun begitu, Akbardin membayangkan pelanggan mereka masih berharap akan ada satu cadangan dari Mahmud Abu Bekir.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamad Abdullah telah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 23 Mei, sementara menunggu keputusan tawaran penyelesaian tersebut.

Shahnaz menuntut aset bernilai RM300 juta yang didakwanya harta sepencarian pasangan tersebut selama 19 tahun berkahwin, serta permohonan RM100 juta tuntutan mutaah.

[Baca berita penuh]