Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PSM menuntut kerajaan menghentikan segera operasi pembinaan insinerator sampah bernilai RM38 juta di Blue Valley, Cameron Highlands kerana langkah itu dibimbangi akan menjejas alam sekitar.

Setiausaha parti itu, Suresh Kumar berkata insinerator itu merupakan satu pembaziran selain mampu memberi kesan dioksin kepada kesihatan memandangkan sampah yang dihasilkan itu boleh dikitar semula.

Jelasnya, kebanyakan sampah yang dihasilkan di kawasan Cameron Highlands merupakan sisa pertanian yang boleh dikitar semula.

"Apa yang kami minta ialah membuat sistem 'zero waste' agar sampah boleh dikitar semula. Di Cameron, 60 peratus bahan buangan ialah bahan organik.

"Kenapa perlu membelanjakan sehingga RM38 juta untuk bina insinerator sedangkan boleh buat sistem 'zero waste' yang menggabungkan kaedah kitar semula, membaiki, menggunakan semula dan 'composting'," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum.

Suresh turut menggesa agar kementerian terlibat dapat menggunakan duit tersebut bagi  membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada penduduk.

Perkara itu dikemukakan dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung di Putrajaya pagi ini.

Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai komunikasi korporat kementerian tersebut, Jessylina Mat Lazim.

Suresh berkata, pegawai berkenaan memberi jaminan bahawa kementerian itu akan hadir di Blue Valley bagi mengadakan sesi dialog bersama penduduk terlibat.

"Dua tahun lalu, kita ada tulis surat pada menteri yang sama. Tapi tak dapat jawapan. Pada majlis daerah dan pejabat tanah Cameron Highland pun kami sudah pergi. Tapi mereka tidak mahu berbincang.

"Sebab itu kita datang sini, beri terus memorandum pada kementerian," katanya lagi.

ADS