Sebanyak 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyuarakan bantahan terhadap satu perhimpunan yang akan diadakan di ibu kota hujung minggu ini kerana menganggap perbuatan itu berpotensi mencetuskan kekecohan.

    

Mereka juga menyelar sikap degil pihak penganjur perhimpunan itu yang disokong pembangkang untuk terus mengadakannya di Dataran Merdeka sungguhpun tidak diluluskan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    

Antara yang menyuarakan bantahan ialah Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia, Persatuan Penjaja Kuala Lumpur, Pertubuhan Suarakan Kehendak Rakyat Malaysia (Sedar) dan Pertubuhan Gerakan Memartabat Pejuang Negara Malaysia.

    

Pengerusi YPC Datuk Syed Ali Alhabshee berkata sikap degil kumpulan itu untuk berkeras mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka membuktikan bahawa mereka terdiri dalam kalangan tidak menghormati undang-undang.

"Pihak kerajaan mencadangkan agar mereka berhimpun di stadium tetapi yang saya hairan mengapa mereka berkeras untuk berhimpun di Dataran Merdeka seperti ada sesuatu agenda yang mereka sembunyikan," katanya kepada pemberita pada bantahan itu di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya kumpulan 24 NGO tersebut akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jumaat ini bagi menggesa kementerian berkenaan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan itu.

Beliau berkata memorandum itu juga menolak sebarang usaha mana-mana pihak, individu atau organisasi yang memperjuangkan hak kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta pengamal seks songsang.

Sementara itu, Wakil Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Bastari Muslim berkata tindakan berhimpun di Dataran Merdeka Sabtu ini hanya menaikkan kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu.

    

"Tidak ada orang Melayu yang sayangkan negara akan sokong perhimpunan di Dataran Merdeka kerana ia mencabar kedaulatan raja-raja sebagai lambang kedaulatan negara," katanya.

Bernama