MB: Pelantikan YNS untuk seragam semua papan iklan
Langkah kerajaan negeri menyerahkan pemilikan dan pengurusan semua papan iklan di negeri ini kepada sebuah agensi tunggal iaitu Yayasan Negeri Sembilan (YNS) adalah bagi menyelaras dan menyeragamkan semua papan-papan iklan yang terdapat di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu sekaligus membolehkan urusan berkaitan sewa papan iklan menjadi lebih mudah apabila pengiklan hanya perlu berurusan dengan sebuah agensi sahaja tanpa melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sekarang, pengiklan akan berurusan terus dengan Yayasan Negeri Sembilan dan sebahagian bayaran tetap disalurkan kembali kepada pihak berkuasa tempatan.
"Dengan langkah ini, kita dapat menyeragamkan papan iklan supaya cantik, kukuh, selamat dan teratur sekali gus tidak mencacatkan pemandangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Terima Kasih Titah Ucapan Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Katanya walaupun YNS bertindak sebagai agensi tunggal menguruskan papan-papan iklan di negeri ini, tidak timbul soal monopoli kerana syarikat itu hanya menguruskan papan iklan di tanah milik kerajaan dan PBT saja.
Mohamad berkata dengan dasar baru yang diperkenalkan itu juga membolehkan kadar bayaran sewa tahunan papan iklan dikurangkan daripada RM24,000 sebelum ini kepada RM18,000 sekaligus menguntungkan pengiklan.
Katanya beberapa negeri lain turut mempraktikkan langkah sama, termasuk di negeri dikuasai pembangkang dan mengenakan kadar bayaran sewa tahunan jauh lebih tinggi, mencecah RM50,000 setahun.
Pada Oktober tahun lepas, kerajaan negeri membuat keputusan memindahkan kuasa kerajaan tempatan ke atas papan iklan kepada YNS yang kemudiannya melantik sebuah syarikat pengiklan untuk menguruskan papan-papan iklan di negeri itu.
Bagaimanapun tindakan ini mendapat bantahan firma-firma iklan di negeri ini yang mendakwa ia akan menyebabkan monopoli dan syarikat pengiklan yang dilantik oleh YNS untuk menjalankan tugas itu tidak berpengalaman.
- Bernama

