TPM umum peruntukan segera RM11.2j untuk Ranau
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan segera sejumlah RM11.2 juta bagi menambah baik pelbagai infrastruktur dan kemudahan asas di Ranau.
Beliau berkata peruntukan itu merangkumi RM2 juta untuk menaik taraf Jalan Kibbas-Lipasu yang akan dimulakan tahun depan dan RM600,000 bagi pembinaan jambatan besi yang menghubungkan tiga buah kampung di Wallou.
"Sejumlah RM100,000 diperuntukkan untuk menambah baik Masjid Al-Kautsar di sini manakala geran RM10,000 kepada beberapa pertubuhan di Ranau," katanya ketika berucap di Program Bersama Rakyat dan jamuan Makan 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau hari ini.
Turut hadir pada program yang dihadiri kira-kira 5,000 rakyat itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sabah bermula hari ini kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Ranau dan selepas itu mengadakan tinjauan mesra di pekan tersebut.
- Bernama

