Ku Li tidak tahu ada pengumuman hari ini
Bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini tidak mengumumkan hasratnya untuk bertanding seperti dilaporkan akhbar The Sun . Malah, beliau mendakwa tidak mengetahui terdapat sidang akhbar seperti dilaporkan.
Menurut pembantu khasnya, Ahmad Shabery Cheek, Ku Li tidak tahu bagaimana akhbar itu mendapat maklumat berhubung hal tersebut.
"Pihak kami kesal dengan kenyataan akhbar yang menyebarkan spekulasi itu," jelas Ahmad Shabery kepada media yang menunggu di hadapan 'rumah putih' Ku Li untuk membuat liputan pengumuman tersebut.
The Sun hari ini melaporkan Ku Li akan mengumumkan jawatan yang bakal ditandinginya dalam pemilihan Umno pada Mei depan.
"Pemerhati menjangkakan Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu akan mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan timbalan presiden," lapor akhbar itu di halaman depan.
Akhbar itu menyebutkan Ku Li "dijadualkan mengadakan sidang akhbar di kediamannya." Bagaimanapun, akhbar-akhbar harian lain tidak menyebutkan tentang sidang akhbar ini.
Ekoran laporan tersebut, lebih kurang 20 wartawan dan jurugambar, termasuk agensi media luar negeri, sejak 11:30 pagi lagi mengerumuni kediaman tokoh Umno itu di Langgak Golf, Kuala Lumpur.
Menurut satu sumber yang rapat dengan kumpulan Ku Li, pemimpin veteran Umno itu tidak akan mengadakan sidang akhbar, sebaliknya mengadakan kenyataan akhbar. Ku Li dikatakan bimbang media milik kumpulan tertentu dalam Umno akan merosakkan imej beliau.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan di halaman depan bahawa Ku Li tidak bersedia bertanding dan kemudiannya mendapat maklum balas besar-besaran dari pelbagai tokoh utama Umno.
Perdana Menteri dan juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, meminta Ku Li "berpegang pada janjinya."
Cara laporan akhbar Melayu itu dipercayai sebagai satu usaha mendesak Ku Li mengisytiharkan sikapnya dengan jelas apabila spekulasi semakin luas tersebar bahawa wakil rakyat Gua Musang itu akan sekurang-kurangnya mencabar jawatan nombor dua.
Walaupun sudah dimaklumkan tiada sidang akhbar, wartawan-wartawan dari agensi berita nasional, Bernama , The Sun dan TV3 masih lagi 'menunggu kenyataan dari Ku Li' sehingga jam 2 petang.
Shabery juga menafikan laporan The Sun yang mendakwa Ku Li mengadakan kenduri untuk para penyokongnya. Kenduri itu, katanya lagi, yang selalu diadakan di Kelantan dan Kuala Lumpur untuk mengingati arwah kakaknya.
"Kami akan membatalkan majlis kenduri arwah itu bagi mengelakkan berbangkit isu-isu lain," kata Shabery lagi.
Pemerhati politik dan juga penulis tamu Harakah , Rustam A Sani tidak menafikan pihak media mempunyai agenda tertentu memandangkan tumpuan negatif yang diberikan kepada Ku Li sejak dua minggu terakhir ini, apabila dihubungi malaysiakini hari ini.
Beliau berkata pihak media akan terus mendapatkan penjelasan dari Ku Li walaupun pemimpin Umno itu mengeluarkan kenyataan tidak berminat untuk bertanding. Ku Li sebelum ini bagaimanapun tidak menafikan akan berbuat demikian sekiranya mendapat pencalonan.
Sementara itu seorang aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin, menyifatkan cara media arus utama mengejar berita Ku Li sebagai "seolah-olah mempunyai agenda tersendiri."
"Pemilik akhbar itu yang mempunyai kepentingan dalam Umno cuba membunuh karier politik Ku Li," kata Zaharin lagi.
Beliau yang dikaitkan dengan kumpulan Ku Li tiga hari lalu menghasilkan sebuah buku bertajuk Bila Lagi Mahathir Nak Sedar yang mengandungi kritikan secara berterus terang terhadap presiden parti itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.