Menteri kesihatan Datuk Liow Tiong Lai memberi amaran sehingga Jun ini untuk kontraktor menyiapkan projek pembinaan Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas, dekat Kota Kinabalu.

    

Beliau berkata projek pembinaan bangunan pusat yang berharga lebih RM264 juta itu sepatutnya siap awal tahun ini namun kontraktor berkenaan tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan, sebaliknya memohon beberapa perlanjutan masa.

    

"Sekiranya kontraktor gagal menyiapkan dalam tempoh itu, maka kontrak projek berkenaan akan ditamatkan. Ini kerana kita sudah beri tiga kali perlanjutan tempoh masa penyiapan.

"Tidak boleh lagi diberi (perlanjutan) dan tidak boleh dimaafkan, saya merasa marah kerana perkara ini berlaku, dan saya minta kerjasama kontraktor untuk menyiapkan segera projek ini," katanya kepada pemberita selepas melawat projek itu hari ini.

    

Menurut Liow, kontraktor berkenaan telah memberi jaminan kepadanya bahawa bangunan baru itu akan siap pada bulan Jun tahun ini.

"Sebenarnya semua peralatan mesin yang terbaru (untuk rawatan kanser) sudah ada di sini, dan sebaik siap projek ini, kita mulakan commissioning (pemasangan peralatan) yang mengambil masa selama tiga bulan, dan jika semuanya berjalan lancar pada akhir tahun ini pusat ini akan memulakan perkhidmatan untuk orang ramai," katanya.  

Liow berkata kementeriannya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Kerja Raya yang bertanggungjawab menyelia projek itu.

    

Beliau berkata dengan siapnya pusat yang dibangunkan bersebelahan Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (Hospital Likas) yang bakal dilengkapkan teknologi peralatan canggih itu, pesakit barah di negeri ini tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur atau Kuching untuk mendapatkan rawatan.

    

"Peralatan yang kita ada sekarang di Hospital Ratu Elizabeth II (untuk rawatan kanser) adalah versi yang lama manakala peralatan untuk hospital di Likas ini semuanya versi baru.

    

"Sebab itu, kita bimbang tentang kelewatan projek ini, semua mesin sudah ada, doktor pakar pun sudah menunggu... tidak ada sebab lagi berlaku kelewatan yang berterusan," katanya.

- Bernama