Perhimpunan Sabtu: DBKL, RapidKL akan umum kerugian
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan RapidKL akan mengumumkan kerugian yang ditanggung mereka akibat perhimpunan tersebut tidak lama lagi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata setakat ini pihaknya masih menilai jumlah kerugian akibat tindakan liar peserta perhimpunan yang merosakkan harta benda awam.
"Operasi pembersihan juga masih dijalankan kerana masih ada sampah-sampah yang ditinggalkan kumpulan demonstran ketika perhimpunan berkenaan," katanya kepada Bernama di Kuantan hari ini.
Sementara itu, penyedia perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas di Lembah Klang, RapidKL pula akan membuat laporan polis terhadap penganjur selepas nilai sebenar kerugian diketahui.
Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) Masnizam Hisham berkata jumlah kerugian mungkin akan diketahui dalam minggu ini.
RapidKL katanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan itu.
Syarikat itu mahu gantirugi berpatutan termasuk kerosakan teruk kepada aset, kehilangan hasil pendapatan di stesen LRT Masjid Jamek selepas demonstran meluru menerusi pintu LRT tanpa membayar dan kehilangan pendapatan daripada operasi perkhidmatan basnya.
- Bernama

