Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Oktober untuk perbicaraan kes saman fitnah berjumlah RM30 juta yang difailkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya dan Utusan Malaysia Sdn Bhd.

    

Hakim Datuk Lau Bee Lan menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar hari ini.

    

Pada 12 Disember 2008, Kok, 44, yang juga anggota Exco kerajaan negeri Selangor, menamakan Chamil yang merupakan penyumbang artikel sebagai defendan pertama dan Utusan Melayu Sdn Bhd yang menerbitkan artikel itu sebagai defendan kedua.  

    

Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa isi kandungan artikel itu memberikan gambaran yang dirinya seorang yang bersifat perkauman, taksub agama dan kaum, tidak boleh dipercayai dan ahli politik yang tidak baik.

    

Beliau juga mendakwa artikel yang diterbitkan dalam edisi Ahad, Mingguan Malaysia dengan tajuk "Politik Baru YBJ" juga menggambarkan yang dirinya seorang ahli politik chauvinis yang anti-Islam dan anti-Melayu.

- Bernama