Permohonan syarikat balak tangguh prosiding ditolak
Syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd hari ini gagal mendapatkan perintah Mahkamah Rayuan di Putrajaya agar satu prosiding Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung penaksiran gantirugi, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya untuk mengemukakan rayuan.
Dalam keputusan sebulat suaranya, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Clement Allan Skinner, menolak permohonan Seruan Gemilang itu dengan alasan tidak wujud keadaan khusus untuknya mengeluarkan perintah penangguhan.
Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Lim Yee Lan.
Pada 29 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang memerintahkan syarikat itu membayar gantirugi, yang akan ditaksir
jumlahnya, kepada Jawatankuasa Perhubungan Umno Pahang berhubung satu kontrak pembalakan.
Prosiding tentang penilaian gantirugi itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 dan 24 Jun.
Seruan Gemilang memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung satu keputusan yang diumumkan Mahkamah Rayuan pada 29 Mac. Mahkamah menetapkan 9 Mei sebagai tarikh pengurusan kes itu.
Peguam Datuk Harpal Singh yang mewakili Seruan Gemilang berkata tiga persoalan undang-undang dikemukakan, termasuk sama ada mahkamah berkenaan diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengeluarkan perintah agar satu taksiran dibuat mengenai pemungkiran perjanjian berhubung satu perjanjian yang diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah.
Pada 27 Mac 2003, Seruan Gemilang memfailkan satu saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap jawatankuasa itu bagi menuntut gantirugi berjumlah RM31.16 juta dengan mendakwa berlaku pelanggaran kontrak berhubung hak menjalankan kerja pembalakan di satu kawasan tanah di Nenasi, Pekan, Pahang, yang dikatakan telah diluluskan jawatankuasa berkenaan.
Jawatankuasa itu kemudian mengemukakan tuntutan balas untuk mendapatkan perisytiharan bahawa kontrak yang dimaksudkan itu tidak sah dan terbatal, dan oleh itu tidak lagi wujud.
Jawatankuasa itu juga menuntut Seruan Gemilang membayar kepadanya RM1.5 juta sebagai manfaat dan keuntungan yang diperoleh syarikat itu daripada balak yang ditebang di kawasan seluas 1,000 ekar dikenali sebagai Block A2 di Nenasi.
Pada 1 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuantan meluluskan permohonan jawatankuasa itu untuk mengetepikan saman yang difailkan terhadapnya oleh Seruan Gemilang.
Syarikat berkenaan tidak mengemukakan rayuan mengenainya kepada Mahkamah Rayuan.
Pada 16 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan meluluskan tuntutan balas jawatankuasa itu dan mengisytiharkan bahawa kontrak bertarikh 2 Okt 2000, yang didakwa Seruan Gemilang dibuatnya dengan jawatankuasa berkenaan, sebagai tidak sah dan terbatal.
Mahkamah itu juga memerintahkan jumlah gantirugi ditaksirkan.
- Bernama

