MCA: Pembangkang guna BERSIH tabur fitnah
Perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara Sabtu lepas sedikit sebanyak telah mencemari imej negara di mata dunia dengan rakaman kekecohan dan keganasan disiarkan oleh pelbagai media antarabangsa.
Pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS sudah tentu dipersalahkan kerana merampas perhimpunan itu dengan sengaja merempuh masuk pagar hadangan polis di Dataran Merdeka, malah sebaliknya menuding jari terhadap tindakan susulan polis menyuraikan demonstran.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pakatan pembangkang telah mempergunakan perhimpunan itu untuk mengancam, mengutuk dan mencemarkan imej parti pemerintah serta menabur fitnah termasuk dakwaan daftar pemilih dicemari.
Pembangkang akan melakukan apa juga dan pembohongan bagi menunjukkan mereka mendapat sokongan rakyat.
Tetapi ramai dalam kalangan majoriti senyap berpendapat jika kumpulan tidak mudah dikawal itu sebenarnya penyokong mereka maka impian untuk mengambilalih Putrajaya tidak akan tercapai.
Ramai juga menyalahkan penganjur itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), kerana mereka arif perhimpunan seperti itu mudah dirampas oleh pihak yang mempunyai pelbagai kepentingan termasuk parti pembangkang.
Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Ti Lian Ker berkata BERSIH tidak memiliki kemahiran menganjur dan bergantung kepada parti politik pakatan pembangkang.
"Oleh sebab itu, pembangkang mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk merosakkan imej negara," katanya kepada Bernama hari ini.
Peguam kanan dan bekas ahli Majlis Peguam, Roger Tan, berkata penganjur Bersih 3.0 perlu bebas dan tidak harus membenarkan perjuangan mereka dirampas oleh mana-mana parti politik kecuali ia sudah diatur.
"Bukan sahaja mengaku bebas tetapi perlu dilihat bebas. Anda tidak boleh membenarkan perjuangan anda diambil alih oleh parti politik. Sekiranya ia berlaku, anda kehilangan semua hujahan dan perlu bertanggungjawab," katanya.
Tan berkata julung kali di Malaysia, gambar dan imej visual demonstran memukul anggota polis berpakaian seragam terpapar di seluruh dunia dan ia menggambarkan rakyat Malaysia kurang matang dalam menuntut hak mereka secara aman.
Katanya penganjur akan menghadapi kesukaran untuk meyakinkan rakyat bahawa perhimpunan tersebut diadakan bagi menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia apabila beberapa demonstran menjerit perkataan 'reformasi'.
Perkataan 'reformasi' merupakan slogan yang digunakan oleh demonstran semasa demonstrasi jalan apabila penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Oleh itu, Tan berkata apabila menganjurkan sesuatu acara atau perhimpunan seperti Sabtu lalu, penganjur perlu sedar dengan kehadiran ejen provokasi yang mungkin cuba mencalit imej buruk kepada acara tersebut.
- Bernama

