Hanya tujuh pemimpin Umno Perak direstui tanding kerusi MT
Umno Perak hanya merestui tujuh orang pemimpin negeri ini, termasuk dua muka baru, untuk bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti tahun ini.
Umno Perak hanya merestui tujuh orang pemimpin negeri ini, termasuk dua muka baru, untuk bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti tahun ini.
Mereka ialah pengerusinya Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abdul Aziz Samsuddin, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Menurut Tajol Rosli, dua orang lagi ialah muka baru, iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.
"Hanya tujuh nama yang kita perakui bagi jawatan itu. Jika ada orang lain bertanding jawatan MT atau jawatan lebih tinggi, mereka bukanlah yang diperakui oleh Umno negeri dan mereka adalah calon 'swasta', katanya.
Menurut Bernama , Tajol Rosli yang juga Menteri Besar Perak, berkata jika jumlahnya tidak dikawal, akan terlalu ramai orang yang akan bertanding nanti.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, di Ipoh semalam.
Ketua bahagian
Katanya, Umno negeri memperakui Ahmad Husni dan Zainal Abidin bertanding jawatan MT atas kapasiti mereka timbalan menteri manakala Pergerakan Wanita dan Puteri Umno Perak, akan menentukan calon masing-masing.
Tajol Rosli berkata, mesyuarat cawangan akan diadakan dari 1 hingga 30 Jun dan mesyuarat bahagian dari 8 hingga 22 Julai dengan semua mesyuarat bahagian dirasmikan ketua bahagian itu sendiri.
Di samping itu, katanya, Umno negeri juga melantik seorang pegawai khas bagi mengkaji beberapa masalah yang timbul berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya dalam pilihanraya umum yang baru lalu.
"Pegawai itu adalah seorang yang mahir komputer yang akan membuat penyelidikan mengenai politik Umno Perak. Dia akan mengkaji Umno di setiap bahagian," katanya.
Tajol Rosli berkata, Umno akan meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen di Perak mengenai masalah yang timbul sewaktu pilihanraya umum itu.
Beliau juga berkata, mesyuarat semalam juga mengesahkan perlantikan Adun Ayer Kuning, Samsuddin Abu Hassan sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Tapah menggantikan Datuk Azman Mahalan yang meletakkan jawatan berikutan kes rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.