Wanita warga emas rentung dalam kebakaran
Seorang lelaki hanya mampu mendengar raungan seorang wanita warga emas yang meminta tolong setelah terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Parit Raja di Muar.
Bahar Daud, 40-an, berkata beliau cuba merempuh masuk untuk menyelamat mangsa, Kalthum Sukaimin, 96, ketika api marak di bahagian dapur rumah itu pada jam 11.48 pagi semalam.
"Api terlalu marak dan asap tebal menyebabkan saya sukar untuk menyelamat mangsa yang ketika itu tinggal seorang diri.
"Saya hanya sempat mendengar jeritan mangsa meminta tolong beberapa minit sebelum suara itu lenyap," katanya kepada pemberita.
Beliau kemudian menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar setelah pelbagai usaha untuk memadamkan kebakaran itu gagal.
Pegawai Bomba Kanan 2 Juhar Tumin berkata sepasukan 14 anggota dan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan bahagian dapur dan sebuah bilik di rumah itu.
Mayat mangsa, yang rentung dijumpai di sebuah bilik di bahagian belakang rumah itu, kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.
- Bernama

