PERKASA Pahang: Nik Aziz patut buka 2 mata
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu melihat secara menyeluruh keputusan jawatankuasa fatwa yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan hura-hara, sebelum membuat sebarang maklum balas mengenainya, kata Yang Dipertua PERKASA Pahang Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap.
Beliau berkata Nik Aziz sendiri sepatutnya membuka kedua-dua matanya supaya dapat melihat dengan jelas apa yang telah berlaku semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas.
Katanya perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu bertukar ganas dan mencetuskan suasana huru-hara sehingga mendatangkan kecederaan dan kerosakkan harta benda awam.
"Kegiatan ekonomi di kawasan terbabit terganggu selain kekotoran yang berlaku selepas perhimpunan itu berlangsung. Adakah apa yang dipaparkan sebelum ini masih kurang jelas?" katanya kepada pemberita di Kuantan, pada Rabu.
Abd Wahid berkata beliau yakin muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia melihat secara menyeluruh mengenai perhimpunan itu sehingga akhirnya memutuskan untuk mengharamkan umat Islam menyertainya.
- Bernama

