Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mencadangkan pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun sebagai salah seorang anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

"Proham mencadangkan kerajaan Persekutuan mempertimbang pelantikan Tan Sri Simon Sipaun yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, (bekas) Naib Presiden Suhakam dan Pengerusi Proham sebagai ahli RCI," kenyataan Proham dipetik.

Kenyataan oleh tiga orang anggota Proham itu – Tan Sri Ramon Navaratnam, Profesor Hamdan Adnan dan Datuk Dr Denison Jayasooria – turut mencadangkan tiga terma rujukan bagi "mengembalikan dan meningkatkan keyakinan orang ramai" berhubung siasatan tersebut.

Terma rujukan itu termasuk melibatkan atas siasatan ke atas kenaikan mendadak populasi Sabah yang disifatkan "luar biasa" kerana tidak konsisten dengan pertumbuhan purata populasi Malaysia dan pembangunan demografi biasa, menurut kenyataan itu.

Selain itu Proham turut menggesa supaya terma rujukan tersebut juga melibatkan prosedur pemberian kerakyatan kepada warga Sabah dan supaya RCI merangka prosedur baru untuk memberi kewarganegaraan.

Langkah itu bagi mencegah penyalahgunaan yang pernah berlaku dalam pendaftaran kerakyatan sebelum ini, menurut Proham.

Cadangan itu dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan sedang menyediakan terma rujukan untuk penubuhan suruhanjaya berkenaan.