ULASAN Pendengaran Awam Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli semalam mendengar dua dakwaan kes pencerobohan tanah Orang Asli di Kg Sg Papan, Gerik dan Kg Sg Tisong, Sungkai.

Bagaimanapun setelah berbincang dengan ahli panel lain, Pengerusi Panel, Tan Sri Hasmy telah membuat keputusan menangguhkan satu kes melibatkan Kg Sg Papan, kerana pengadu Alauch Busu tidak hadir dan diwakili oleh Jekeh Senangoh.

Ketika kes diperdengarkan kepada panel, didapati terdapat keraguan maklumat yang diberikan dan menyukarkan panel mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Bagi kes kedua melibatkan Kg Sg Tisong, pengadu Rahamat Yeok Bek hadir bersama Batin Yok Mirin. Kampung yang terletak lebih kurang 10km dari pekan Sungkai ditadbir oleh Batin Yok sejak tahun 1980.

Pengadu memberitahu panel bahawa Wilayah Tanah Adat melibatkan kawasan seluas 300 ekar manakala keseluruhan kawasan tanaman getah dan kebun buah-buahan yang diusahakan seluas 300 hektar.

Dakwaan yang dikemukakan berkaitan Projek Pelancongan Kuala Sg. Tisong yang dibangunkan pada 1995 tidak melibatkan perbincangan dengan Batin atau penduduk kampung.

Rahamat turut menjelaskan bahawa penduduk kampung tidak berpuas hati kerana projek ini tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada penduduk serta janji bahawa komisen akan diberikan setelah projek ini selesai juga tidak ditunaikan.

"Pengusaha projek ini pernah menjanjikan pekerjaan kepada penduduk selepas pembinaan chalet tetapi hanya ditawarkan kerja sebagai pekebun dan penjaga tempat letak kereta.

"Bayaran pula sangat murah serta tidak mengikut jadual," jelas Rahmat.

Penduduk berkeras tolak pembangunan Tanah Adat

Selain itu, Rahamat turut memberitahu panel mengenai pembangunan yang dijalankan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dalam kawasan mereka.

Penduduk kesal kerana tiada sebarang makluman berkenaan pembangunan berkenaan dan hanya disedari apabila penduduk melihat sendiri kerja-kerja permulaan membersihkan kawasan sebanyak 30 ekar tersebut.

Bantahan berterusan daripada penduduk kampung menyebabkan kerja-kerja berkenaan dihentikan serta merta.

Melalui perbincangan antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PPPNP dan kerajaan negeri dengan penduduk kampung, Rahamat menyatakan mereka tetap berkeras untuk tidak membenarkan

pembangunan ke atas Wilayah Tanah Adat tersebut.

Menjawab dakwaan terhadap PPPNP, Penolong Pengurus Hartanah, Azmi Md Jim menjelaskan bahawa pembangunan atas tanah berkenaan adalah secara sah kerana status tanah bawah

Kerajaan Negeri.

Menurut Azmi, PPPNP merupakan badan di bawah kerajaan negeri dan bertanggungjawab dalam aktiviti-aktiviti pembangunan pertanian melibatkan ladang-ladang kelapa sawit dan getah yang bermula sejak tahun 1975 sehingga kini sekaligus merupakan pendapatan kepada kerajaan negeri.

Mengikut prosedur, setelah kelulusan daripada kerajaan negeri diperolehi, PPPNP akan menjalankan kajian untuk memastikan kesesuaian tanah tersebut untuk pertanian atau projek-projek

yang diarah untuk dilaksanakan.

Menjawab pertanyaan panel berkenaan kajian lapangan sebelum tanah dipohon, Azmi menjelaskan bahawa kajian oleh PPPNP hanya dibuat selepas permohonan diluluskan dan fokus kajian melibatkan

aspek kesesuaian tanah untuk pertanian.

"Mengenai perkampungan Orang Asli, kami tidak sedar pada awalnya cuma semasa pembukaan tanah kami ternampak pokok getah dan kami tidak usik (tidak tebang).

"Apabila dihalang kami berhentikan kerja-kerja membersihkan kawasan," kata Azmi.

Keputusan persempadanan belum diperolehi

Ahli panel, Datuk Dr. Khaw Lake Tee dalam soalannya berkenaan syarat-syarat tertentu sebelum sesuatu permohonan tanah diluluskan, Azmi menjelaskan bahawa semasa permohonan dibuat, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri akan meminta ulasan daripada jabatan-jabatan yang berkaitan terhadap kedudukan dan status tanah daripada pelbagai aspek.

Merujuk kepada permohonan tanah yang diluluskan kepada PPPNP, ia tiada masalah dan boleh dibangunkan.

Azmi juga menjelaskan kebanyakan kes-kes yang melibatkan pembangunan tanah pertanian PPPNP, walaupun kerja-kerja pembangunan sedang dijalankan dan didapati terdapatnya perkampungan, kubur, kawasan pertanian ataupun sebarang tanda yang menunjukkan kawasan tersebut didakwa milik Orang

Asli pihaknya akan cuba elakkan dari membangunkan kawasan tersebut.

"Pihak kami juga akan meminta penduduk untuk menunjukkan kawasan sempadan mereka, jadi kami akan bangunkan kawasan luar daripada sempadan tersebut sahaja," jelas Azmi.

Merujuk kepada status terkini tanah tersebut, Azmi menyatakan pihaknya ingin mendapatkan kepastian mengenai sempadan secara rasmi kawasan perkampungan Orang Asli seterusnya pihak PPPNP akan membangunkan kawasan selebihnya.

Perbincangan masih diteruskan melibatkan JAKOA, Orang Asli dan PPPNP, walaupun demikian keputusan kawasan persempadanan masih belum diperolehi.