S'gor terima teguran Sultan isu air
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah agar isu air negeri tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan.
Katanya, teguran itu akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi keberkesanan urus tadbir negeri, termasuk memperkasakan program Ekonomi Selangor.
Bernama semalam melaporkan Sultan Selangor sebagai mengingatkan kerajaan Selangor tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu.
Baginda bertitah, baginda tidak mahu kerajaan Selangor berdepan dengan krisis air yang boleh menjejaskan nama baik sebagai negeri maju disebabkan pelabur berpindah ke tempat lain.
Dalam kenyataannnya hari ini, Khalid bagaimanapun terus mendesak kerajaan Pusat supaya melaksanakan segera penstrukturan semula industri pembekalan air negeri seperti yang diperuntukkan Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).
Kerajaan Selangor juga berharap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui "berdolak dalih" dan menggunakan kuasanya untuk memastikan syarikat konsesi bersetuju dengan rancangan penstrukturan negeri, kata Khalid.
"Sebelum ini kerajaan Selangor menawarkan penyelesaian arbitrasi antarabangsa untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan sepatutnya syarikat konsesi tidak mempunyai masalah untuk menerima tawaran kerana ia amat munasabah," katanya.

