Peguam tak mengaku bersalah langgar perintah mahkamah
Peguam kanan Rajesh Kumar Gejinder Nath, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April hingga 1 Mei lepas.
Ahli Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam Malaysia itu juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan di mana beliau bersama-sama dengan penyokong "Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil" (Bersih 3.0) hadir di perhimpunan yang dilarang dan mungkin boleh menyebabkan rusuhan ataupun pergaduhan di Dataran Merdeka pada 28 April.
Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dataran itu yang terletak di Jalan Raja kira-kira 3 petang pada 28 April.
Untuk kesalahan pertama, Rajesh Kumar didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-dua sekali.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-dua sekali.
Rajesh Kumar merupakan individu kedua dihadapkan ke mahkamah Jalan Duta di sini berhubung perhimpunan pada 28 April lepas.
Pada 3 Mei lepas, Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah, Negeri Sembilan R Tangam, 50, merupakan orang pertama yang dihadapkan di mahkamah berhubung perhimpunan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh memandangkan tertuduh
merupakan seorang peguam yang menghormati undang-undang, dan kesalahan yang dihadapinya melibatkan isu ketenteraman awam.
Peguam bela tertuduh, N Sivanesan meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kepada RM2,000 dengan mengambil kira faktor tertuduh telah bekerjasama dengan polis dan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur sebaik sahaja dimaklumkan polis memerlukan kerjasamanya membantu dalam siasatan tersebut.
Hakim Mahmud Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Jun ini.
- Bernama

