Pemilik anjing serang warga hingga maut didenda RM1,000
Pemilik anjing jantan jenis Pitbull, yang menyerang seorang warga emas sehingga maut di Subang Jaya pada Selasa lepas, telah dikenakan kompaun RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana kecuaian.
Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Azfarizal Abdul Rashid berkata pemilik anjing itu didapati cuai menjaga anjingnya seperti yang disyaratkan dalam Undang-Undang Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPSJ 2012.
"Walaupun anjing itu mempunyai lesen, pemiliknya melepaskan anjing tanpa diikat dan dikawal di luar permis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata anjing itu dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor semalam.
Selasa lepas, seorang warga emas, Yip Sun Wah, 74, yang sedang berjogging mati selepas diserang seekor anjing jantan jenis Pitbull peliharaan jirannya di Jalan 19/5E, SS19 Subang Jaya.
- Bernama

