Zahid: Jangan peralat agama untuk raih undi
Parti politik diingatkan supaya tidak menggunakan agama sebagai alat kepentingan politik dalam meraih undi dan mendapat sokongan rakyat di negara ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya agama tidak wajar dijadikan alat untuk mengikat rakyat terus menyokong kepimpinan sesebuah parti.
"Kita harus melihat bahawa akan berlaku gelojak politik yang akan mengeruhkan situasi sesuatu agama dan bangsa apabila dijadikan agama sebagai cara untuk politik kerana berdasarkan agama lain ia akan mengalami kegagalan," katanya kepada
Bernama
di Kuala Lumpur, Khamis.
Terdahulu beliau menjadi tetamu jemputan program 'Helo Malaysia' terbitan Bernama TV bertajuk 'Intan dan Kaca' yang mengupas isu kepimpinan perjuangan Umno selama 66 tahun.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata pelbagai isu seperti agama adalah tidak wajar digunakan untuk meraih undi dari rakyat kerana ia memudaratkan agama itu sendiri.
- Bernama

