6 Penan Muslim ditahan di Bintulu
Enam Penan Muslim ditahan polis Rabu lepas selepas disyaki cuba membakar ladang - tempat mereka membuat halangan - bagi menuntut tanah itu dikembalikan kepada keluarga mereka.
Mereka ditahan selepas pemaju ladang Sebekai Plantation Sdn Bhd membuat dakwaan itu dan dibebaskan semalam selepas disoal siasat.
Kumpulan itu, mewakili kira-kira 30 keluarga Penan Muslim, membina halangan di Kawasan Sebekai, Labang, Bintulu sejak 10 Mei lalu kerana beranggapan ia tanah adat mereka.
Ketika dihubungi Malaysiakini , wakil mereka Ismawi Ishak berkata mereka dibebaskan kerana tiada bukti terlibat dalam insiden itu.
Katanya, mereka tidak tahu menahu sebarang kebakaran yang berlaku di ladang itu.
Sebekai Plantation Sdn Bhd mengambil alih tanah itu enam tahun lalu. Menurut Ismawi, dalam bergelut mendapatkan semula tanah itu, mereka membina halangan itu.
Kumpulan Penan Muslim menuntut ganti rugi untuk kerugian mereka dan mahu tanah ladang kelapa sawit itu dikembalikan.

