Kehadiran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak di kota New York minggu ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar lebih lapan juta penduduk pusat kewangan terbesar dunia ini.

Namun, lawatan kerja perdana menteri ke New York dari Rabu hingga Jumaat minggu ini mungkin sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh kalangan komuniti perniagaan di New York yang sedang atau berminat untuk melabur di Malaysia.

Justeru, satu pertemuan diatur untuk mempertemukan pemimpin nombor satu Malaysia itu dengan para pemimpin syarikat korporat Amerika yang tersenarai dalam Fortune 500.

Tempat yang dipilih untuk mengadakan pertemuan itu pula adalah sangat berprestij, iaitu The Harvard Club of New York, yang dibuka sejak 1865, dengan keanggotaan terdiri daripada mereka yang pernah menuntut di menara gading tersohor Amerika, Universiti Havard.

Senarai nama syarikat korporat yang menghantar wakil ke pertemuan itu juga tidak kurang gahnya, antaranya ConocoPhilips, Boeing, Citi Group, Darden, AIG-Chartis, Guardian Industries, Eastman Chemical, Symmetry Medical, Ace Group dan Crest Group.

Dalam ucapannya, Najib memperjelaskan kepada mereka bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang teguh iaitu 5.1 peratus pada 2011, yang melebihi unjuran, dan Bank Negara Malaysia, sekali lagi mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4 dan 5 peratus di sebalik krisis hutang zon euro dan pertumbuhan perlahan dalam kalangan rakan dagang utama Malaysia.

"Berikutan rizab kami pada tahap selesa, hutang luaran yang rendah dan aliran sihat dalam pelaburan langsung asing (FDI), saya yakin ekonomi Malaysia akan kekal utuh," katanya.

Dalam persekitaran luaran yang mencabar dan berdepan dengan saingan global yang sengit, Malaysia terus merupakan lokasi FDI yang berdaya saing dari segi kos dengan jumlah pelaburan keseluruhan pada 2011 meningkat 36.7 peratus kepada US$46.9 bilion berbanding US$34.3 bilion tahun sebelumnya.

"Formula pertumbuhan kami berlandaskan kepada perkongsian kukuh dan berkesan antara sektor awam dan swasta, dengan kerajaan memudahkan urus niaga menerusi sedikit sentuhan dalam persekitaran kawal atur, dan kekuatan perkongsian inilah yang terus menjadikan Malaysia begitu berdaya saing dari segi kos," kata Najib.

Beliau berkata di persada antarabangsa, usaha kerajaan ini telah pun memperoleh pengiktirafan dengan Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam beberapa ranking global.

Ketika ditemui pemberita kemudian dan diminta mengulas maklum balas yang diterimanya daripada kalangan tokoh korporat Amerika, Najib berkata beliau melihat mereka yakin dengan peluang yang boleh mereka peroleh di Malaysia.

Mereka juga berpuas hati dengan dasar yang dilaksanakan serta proses kelulusan dan insentif yang diberi oleh kerajaan.

"Maknanya Malaysia tetap merupakan sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kuat untuk menarik pelabur di luar negara.

"Ini dapat disahkan melalui ranking kita yang disahkan badan-badan peringkat antarabangsa dan dalam pertemuan dengan komuniti perniagaan asing," katanya.

Namun, menurut perdana menteri, kerajaan masih memerlukan maklum balas daripada mereka supaya apa yang telah dilakukan boleh dilakukan penambahbaikan.

"Dengan cara seperti ini kita akan berada di barisan hadapan dari segi kemampuan negara kita untuk bersaing dengan negara-negara lain untuk menarik pelaburan dari luar, FDI untuk Malaysia," kata beliau.

Walaupun keyakinan para pelabur Amerika terhadap iklim pelaburan di Malaysia masih utuh, namun Najib mengingatkan bahawa masih terdapat beberapa halangan yang boleh mempengaruhi keputusan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Salah satu daripada halangan yang disebut oleh para pelabur ialah betapa pentingnya 'skills set' di kalangan rakyat Malaysia, terutama sekali dari peringkat kelulusan Sarjana dan kedoktoran (PhD).

"Maka kalau kita mengarahkan jurutera maka jurutera tu patut diberi kemahiran yang lebih tinggi supaya dapat mengendalikan pekerjaan bernilai tinggi.

"Maka, menghasilkan set kemahiran yang betul adalah penting kepada tahap pertumbuhan yang seterusnya bagi Malaysia," kata Najib.

Selain itu, katanya, keyakinan pelabur juga diperkuatkan lagi oleh ketegasan Malaysia dalam memberi perlindungan terhadap harta intelek dan mereka mengharapkan agar usaha sedemikian diperkukuhkan lagi.

Mengenai jurang antara persepsi dan realiti pelabur asing terhadap Malaysia, Najib berkata itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan mereka.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya mereka melawat Malaysia dan mengetahui apa yang berlaku di Malaysia, ini akan lebih meyakinkan mereka lagi kerana sebelum ke Malaysia mereka mempunyai persepsi yang tidak positif terhadap Malaysia.

"Jadi, tugas kita ialah untuk merapatkan lagi 'divide' atau jurang di antara persepsi dan realiti, dan salah satu cara atau kaedah ialah menggalakkan mereka yang mempunyai pelaburan di Malayisa agar menjadi jurubicara bagi pihak kita atau 'third party validators' yang boleh menerangkan apa pengalaman mereka kerana pengalaman mereka tentu sekali lebih berwibawa kalau dihuraikan kepada

pihak syarikat lain di US yang belum ada pengalaman di Malaysia," katanya.

Najib berada di sini untuk mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi (GSIAC) di New York Academy of Sciences.

Antara inisiatif baru yang beliau umumkan adalah pembaharuan pendidikan peringkat nasional yang akan dilaksanakan berdasarkan kaedah 'Cradle to Career' (Dari Buaian ke Kerjaya) yang dipelopori di Amerika Syarikat, yang berjaya meningkatkan kejayaan pelajar sepanjang sistem persekolahan, bermula dari peringkat awal kanak-kanak sehingga tamat universiti atau kolej.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kemudian berlepas dari New York ke Washington DC pada Jumaat untuk menamatkan lawatan mereka.

- Bernama