Tuduhan ke atas Shamsubahrin kekal
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa pejabat Peguam Negara menolak permohonan Shamsubahrin Ismail berhubung kes penipuan melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).
Hakim Rozilah Salleh menetap tarikh perbicaraan berlangsung bermula 16 hingga 27 Julai.
Peguam Shamsubahrin pada 13 Mac lalu memohon untuk menggugurkan atau meringankan dakwaan ke atasnya.
Shamsubahrin, 45, memohon dibicarakan atas dua tuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau dituduh menipu Mohamad Salleh supaya menyerahkan dua cek bernilai lebih RM1.755 juta di Solaris Mont Kiara antara 25 November dan 6 Disember 2011.
Beliau juga didakwa menipu Mohamad Salleh pada 20 November 2011 dengan menjanjikan untuk menyedia "khidmat perundingan" untuk satu bayaran, walau mengetahui bahawa beliau tidak dapat menjalankannya.