Penduduk Ladang Bukit Jalil mengancam berkampung depan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya minggu depan bagi menuntut penyelesaian terhadap masalah perumahan mereka.

Menurut kenyataan NGO Jerit, kumpulan itu akan berhimpun bagi mendapatkan kata putus berkenaan tuntutan mereka dan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara peribadi.

"Mereka berazam untuk berada di Pejabat Perdana Menteri pada 30 Mei dan tidak akan berganjak dari pejabat YAB sehingga masalah ini diselesaikan," kenyataan itu dipetik.

Pada 11 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengetepikan saman oleh penduduk Ladang Bukit Jalil, berhubung notis pengusiran dan merobohkan rumah mereka.

Penduduk Ladang Bukit Jalil memfailkan saman itu pada 14 Mac terhadap Datuk Bandar bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa plaintif mempunyai hak ekslusif dan ekuiti terhadap tanah itu dan memohon injunksi untuk menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada merobohkan rumah mereka.