Himpunan Jutaan Belia 2012 tarik belia Cina
Perkampungan Budaya Belia Kaum Cina (CYCV) yang merupakan segmen baru pada Himpunan Jutaan Belia 2012 telah mampu menarik golongan muda kaum tersebut ke perhimpunan kali ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata CYCV dilihat mampu memberi input positif kepada golong muda kaum Cina dalam mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
CYCV telah sama-sama memeriahkan sambutan himpunan belia kali ini, dan secara tidak langsung membantu kementerian itu mencapai sasaran dua juta belia hadir pada sambutan kali ini yang akan berakhir Ahad ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan CYCV di Putrajaya semalam.
Beliau turut melahirkan rasa bangganya dengan sokongan golongan muda daripada pelbagai kaum yang telah memeriahkan sambutan Himpunan Jutaan Belia 2012 kali ini.
Himpunan ini berjaya mengumpulkan pelbagai belia daripada pelbagai kaum menerusi pelbagai aktiviti dan juga program yang dianjurkan," katanya.
Perkampungan Budaya Belia Kaum Cina menyajikan pelbagai acara menarik, termasuk pertunjukan pentas, persembahan kebudayaan, pertandingan Ratu Kebaya, persembahan Gendang Cina, sukan jalanan, tarian jalanan dan banyak lagi.
- Bernama

