MB: Minoriti tak tersisih dari bantuan
Kerajaan BN tidak pernah mensisihkan kaum minoriti di negara ini dalam sebarang pengagihan bantuan untuk rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Masyarakat Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum minoriti di negara ini adalah rakyat Malaysia yang sama-sama membangunkan negara dan mereka berhak untuk menikmati pembangunan.
"Kerajaan BN akan terus memberi bantuan kepada mereka agar sama-sama maju dan terus berdaya saing," katanya pada majlis perjumpan bersama pekerja ladang kawasan ini, di Bentong semalam.
Sementara itu, Adnan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Pelangai berkata tiga kawasan di Pelangai telah dikenalpasti untuk dibangunkan dengan projek perumahan rakyat tidak lama lagi.
Beliau berkata jika semuanya berjalan lancar, kerajaan negeri akan membina rumah rakyat bernilai antara RM80,000 hingga RM150,000 seunit.
"Keutamaan akan diberi kepada mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah. Ia bertujuan membolehkan mereka yang berpendapatan rendah seperti pekerja ladang memiliki rumah sendiri," katanya.
- Bernama

