MP dakwa 3,457 pengundi di kawasannya 'hilang'
Ahli parlimen Klang Charles Santiago mendakwa sebanyak 3,457 pengundi di kawasannya didapati hilang daripada daftar pemilih sejak pilihan raya 2008.
Katanya, pengundi berkenaan didaftarkan dalam pilihan raya umum 2008 namun carian di pengkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya dengan memasukkan nombor kad pengenalan pengundi tersebut memberi keputusan "tiada maklumat."
Beliau memberitahu perkara itu kepada
Malaysiakini
selepas satu sidang media di Klang hari ini.
Katanya, hanya pengundi yang meninggal dunia, diisytihar bankrap, dan dilucutkan kerakyatan boleh dikeluarkan daripada daftar pemilih.
Alasan untuk mengeluarkan nama pemilih itu juga akan dinyatakan dalam daftar pemilih tambahan untuk setiap suku tahun.
Bagaimanapun, Santiago mendakwa hal itu tidak dinyatakan dalam kes tersebut.
Tambahnya, beberapa pengundi tersebut berjaya ditemui dan mendapati bahawa mereka masih hidup dan layak mengundi.
Seramai 95,000 pengundi didaftarkan di kawasan parlimen Klang dalam daftar pemilih terkini.

