Walaupun pengembara Mesir, Ahmed Haggagovic, 27, bercita-cita untuk menjelajah ke luar negara sejak berusia empat tahun lagi, namun dia terpaksa memendamkan saja hasratnya itu selama 10 tahun sebelum menjadikannya satu kenyataan.

Sebelum itu, pemuda ini sekadar mengabadikan segala impiannya itu dalam satu senarai yang ditulis pada dinding bilik tidurnya. Bagaimanapun, dia sedih kerana catatannya itu sering dipadam ibunya.

Pada usia 15 tahun, ketika remaja lain sibuk dengan alam persekolahan, Haggagovic sudah mencapai impiannya itu apabila ibu bapanya membiayai tambang untuk ke Jerman.

Detik itu merupakan permulaan baginya dalam pengembaraan untuk mencapai impian yang boleh dianggap sebagai tidak realistik iaitu menjelajah ke segenap negara untuk menyebarkan tiga mesej penting - kebebasan, kesejahteraan dan keamanan.

"Saya mahu menjadi manusia pertama yang mengelilingi dunia dengan membawa mesej ini dan mengibarkan bendera Mesir di setiap negara yang saya kunjungi.

Anda perlu memiliki lebih daripada keberanian untuk mencapai impian anda. Anda perlu memiliki kecintaan serta kemampuan daripada segi fizikal untuk memelihara impian anda," kata Haggagovic, yang digelar "Duta Luar Biasa Mesir".

Ketika menceritakan pengalaman perjalanannya di Wisma Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini, Haggagovic berkata dia mempunyai keyakinan terhadap impian tidak realistiknya itu kerana percaya dia boleh melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain di dunia ini.

"Saya ingin buktikan bahawa kita boleh mencapai impian kita jika kita benar-benar yakin mengenainya. Kita tidak pernah terlewat untuk mencapai impian kita," kata pengembara dan penceramah motivasi ini, yang memulakan perjalanannya pada 2007.

Sejak itu, dia telah menjelajah lebih 200 bandar raya di kira-kira 90 negara sambil menyebarkan mesej tersebut dan mempromosikan negaranya.

"Saya tidak percaya pada semangat perkauman dan sempadan kerana saya percaya planet ini adalah untuk semua umat manusia. Teringat saya kepada sebuah keluarga atheis di Amerika Selatan. Semasa saya tumpang bermalam di rumah mereka, keluarga ini tidur di lantai agar saya boleh tidur di atas katil mereka, tanpa bertanya tentang agama saya," katanya.

Dalam melaksanakan misinya, Haggagovic berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh terus percaya tentang perkara yang dikatakan mengenai sesebuah negara dan penduduknya, melainkan setelah dia melihatnya sendiri dan bertemu muka dengan mereka.

"Inilah yang saya cuba sampaikan dalam perjalanan saya. Jangan sekali-kali membuat tanggapan awal tentang seseorang sebelum anda berjumpa dengannya. Inilah sebabnya saya mengembara - untuk melihat dan bertemu muka dengan manusia dari pebagai negara dan untuk meruntuhkan dinding pemisah," katanya.

Namun demikian, pengembaraannya tidak sunyi daripada menghadapi cabaran. Dia menjadi bahan jenaka manusia di sekelilingnya dan yang memperkecil-kecilkan impiannya, termasuk keluarga sendiri dan penduduk di negara yang dilawatinya.

Dia juga terpaksa menempuh cuaca buruk, tembok bahasa dan masalah pengangkutan.

Pemuda bersemangat waja ini mengambil masa 10 hari untuk bergerak dari Moscow ke Vladivostok dengan menaiki tren Trans-Siberia dan dalam tempoh itu, dia meredah lapan zon masa dalam suhu -47C, tanpa sistem pemanas.

Ditanya bilakah misi pengembaraan akan selesai, Haggagovic - yang mengibarkan bendera negaranya di Melaka pada Isnin - berkata dia tidak menetapkan tarikh akhir, walaupun sudah mencapai lebih 60 peratus matlamat yang terkandung dalam senarai impiannya, termasuk mempelajari bahasa asing. Kini, dia boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol, Portugis dan Perancis, selain Inggeris.

"Biar apa pun kesulitan yang terpaksa saya alami, saya tetap ingin membuka mata dunia supaya meyakini bahawa seseorang itu mampu mencipta apa yang ingin diciptanya. Fikirkanlah mengenainya," demikian kata-kata penutup bicara yang diucapkan pengembara luar biasa ini.

Dari Melaka, Haggagovic meneruskan pengembaraan ke Singapura dan dijangka kembali ke Mesir selepas melawat India.

- Bernama