Kerajaan yang bertanggungjawab memulangkan hasil kepada rakyat dan bukan menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin ditunaikan atau menjanjikan sesuatu yang akhirnya memudaratkan negara, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak memberi contoh janji pihak tertentu hendak menurunkan harga minyak, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan meletakkan gaji minimum yang tinggi, lapor Bernama .

NONE Menurutnya seseorang itu tidak perlu jadi cendekiawan untuk sedar bahawa ia tidak mungkin dapat dilakukan, tetapi pada mereka yang berjanji ini tidak penting, kerana apa yang penting untuk berkuasa semata-mata.

Najib juga berkata kerajaan sedang mengkaji cara untuk menambahbaik perkhidmatan di barisan hadapan negara, iaitu pegawai yang mula-mula ditemui pelawat semasa memasuki negara, seperti pegawai kastam atau imigresen.

Menurutnya antara tumpuan yang akan diberikan ialah dari segi interaksi antara pegawai-pegawai ini dengan pelawat.

Beliau seterusnya berkata rakyat Malaysia harus yakin berada di landasan yang benar, cuma yang penting supaya mereka tidak lekas berpuas hati dengan pencapaian, sebaliknya mencabar diri melakukan yang berbaik.

Menurutnya program seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dilaksanakan jelas berkesan secara langsung dan tidak langsung.

Sementara itu, beliau berkata pertumbuhan sektor pembinaan dalam negara yang besar, menjangkau lebih 15 peratus, memberi sumbangan ketara kepada pencapaian kadar pertumbuhan ekonomi negara 4.7 peratus dalam suku pertama tahun ini.

Najib seterusnya berkata dalam menghadapi senario ekonomi dunia yang tidak menentu, untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi mantap, negara tidak punyai pilihan selain mengukuhkan daya tahan ekonomi domestik dan nasional.

"Kita perlu cari sumber dan idea baru untuk tambah pendapatan kita, kita boleh belajar daripada apa yang gagal dilakukan negara-negara di Eurozone yang menghadapi tekanan ekonomi yang amat dahsyat," beliau dipetik sebagai berkata.