Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK: ''Tahniah PTPTN jadi ejen BN laksana politik dendam'
Diterbitkan:  Jun 6, 2012 11:58 AM
Dikemaskini: 7:13 AM

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) "menggantung" pinjaman untuk siswa baru Universiti Selangor menunjukkan badan berkenaan menjadi ejen politik BN.

NONE "Buat PTPTN, sekalung tahniah kerana berjaya mengesahkan bahawa mereka secara rasmi telah menjadi ejen Umno untuk melaksanakan politik dendam Umno kepada Pakatan Rakyat.

"Tentunya tindakan ini menzahirkan satu lagi amalan diskriminasi kepada negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan nada menyindir, Shamsul turut menyarankan supaya PTPTN "meneruskan agenda membalas dendam" itu kerana berpendapat ia memudahkan tugas Pakatan meyakinkan rakyat bahawa PTPTN "relevan dan harus" dimansuhkan melalui kuasa undi dalam pilihan raya umum akan datang.  

Shamsul mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa PTPTN membeku dan menangguhkan buat sementara waktu permohonan siswa baru Unisel untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata tindakan pembekuan itu "tidak mengejutkan" kerana sebelum ini, Umno juga yang galak mengasak kerajaan negeri supaya membiaya pengajian mahasiswa khususnya di Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

NONE Ia berikutan ketegasan Pakatan menolak diskriminasi dan cengkaman hutang PTPTN ke atas mahasiswa, maka kini mereka dijadikan mangsa dengan penafian permohonan tersebut.

Shamsul juga berkata, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah membayangkan bahawa PTPTN mungkin menghentikan pembiayaan kepada mahasiswa Unisel dan KUIS.

Perkara itu diberitahu Khalid dalam satu dialog AMK bersama menteri besar, katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya AMK juga telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menyusun pelan tindakan untuk menanggung kos pengajian mahasiswa yang baharu mendaftar di Unisel dan KUIS.

"Justeru, AMK melihat wujud kewajaran mendesak untuk kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan opsyen menanggung kos pengajian tersebut," katanya.

ADS