SIAP: Tiada aduan tentang BERSIH...
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang ditubuhkan April tahun lalu, tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan keganasan pihak polis semasa perhimpunan BERSIH.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata, suruhanjayanya tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan keganasan polis dalam dua perhimpunan BERSIH, iaitu BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan 3.0 pada 28 April.
EAIC merupakan salah sebuah suruhanjaya yang terpenting daripada 125 cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004.
Selain siasatan terhadap polis, suruhanjaya ini juga merupakan sebuah badan yang menyiasat semua salah laku agensi penguatkuasaan kerajaan.
Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) telah diwartakan pada 3 September 2009 selaras dengan sasaran kerajaan untuk menyemai dan meningkatkan integriti di kalangan pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan dan memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap mereka.
“Tidak ada (menerima aduan). Saya ada merujuk pada artikel di Malaysiakini pada 16 Mei mengenai peserta perhimpunan dipaksa menandatangani surat pengakuan. Tapi saya tak boleh baca (berita penuh) sebab saya nak tulis di ruangan komen ‘datang buat laporan pada kami’.
“Majlis Peguam tahu kita wujud, mereka yang memberitahu media bahawa bila seseorang dipukul perlu membuat aduan. Maka adulah. Kami mahu bertindak tetapi kita perlu mempunyai pengadu untuk bertindak. Salah satu masalah yang kami hadapi ialah rakyat tidak percaya kepada kami...
“Dan kenapa mesti mereka pergi ke Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia). Sebab peguam sering berkata, apa pun adalah mengenai hak asasi manusia. Jika anda tidak boleh menang di mana-mana bahagian undang-undang sivil, jenayah, perlembagaan... anda pergi ke hak asasi manusia.
"Hak asasi manusia adalah sangat luas. Jadi Suhakam adalah yang terbaik,” kata Nor Afizah dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Sehubungan itu, Nor Afizah berkata, walaupun ramai pihak yang mengetahui kewujudan SIAP, tetapi mereka masih lagi tidak membuat sebarang pengaduan padanya.
Nor Afizah berkata, jika alasan pengaduan tidak dibuat kerana tidak tahu kewujudan SIAP, ia adalah perkara yang tidak benar.
“Untuk mengatakan bahawa orang tidak tahu kita, adalah tidak benar. Kami telah mengadakan perbincangan, perbahasan dan seminar dan bersama orang ramai. Kami keluar di media. Dan kami juga telah mengadakan perbincangan dengan wakil Majlis Peguam dan NGO. Mereka tahu kita wujud.
"Jadi, jika anda kata orang awam tidak mengadu kepada kami... (maka) peguam dan Majlis Peguam yang perlu membawa kes itu kepada kami," kata Nor Afizah yang juga merupakan bekas hakim.
Selain itu, Nor Afizah memberitahu, suruhanjayanya akan menerima segala bentuk aduan. Malah agensi itu juga akan pergi ke tempat pengadu jika mereka tidak dapat datang ke pejabatnya di Putrajaya.
Menurutnya lagi, siasatan bagi setiap pengaduan juga perlu dilakukan mengikut prosedur dan suruhanjayanya tidak dapat membuat sebarang siasatan jika tiada pihak yang tampil untuk membuat aduan.
"Jika ia dilaporkan dalam media, pemberita boleh memberitahu pada orang itu tentang kita. Mendidik orang bukan kerja guru-guru sahaja. Jika mereka tidak dapat datang ke Putrajaya, kami akan pergi kepada mereka.
“Suruhanjaya ini memperuntukkan RM7 juta setahun dan kita hanya mempunyai 26 kakitangan," katanya lagi.
Sementara itu, Nor Afizah memberitahu, sehingga 25 Mei, mereka menerima 170 aduan. Kesemua aduan itu diterima melalui surat, emel dan talian hotline SIAP.
Menurutnya, 24 kes yang di luar skop kerja suruhanjaya itu telah ditolak, sembilan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 13 kepada badan tatatertib polis.
Bagi aduan yang lain, dua telah dirujuk kepada SPRM dan polis, 16 adalah disiasat sepenuhnya, manakala 93 masih di bawah penyiasatan permulaan.
“Apabila kita menerima aduan (dan aduan itu telah melalui jawatankuasa aduan), sebaik sahaja keputusan telah dibuat oleh mereka, kami akan memaklumkan kepada pengadu bahawa jawatankuasa aduan telah membincangkannya.
“Kita tidak boleh memberi garis masa tertentu. Kerana bentuk aduan itu, kita perlu sahkan dahulu. Sebagai contoh, apabila kita mendapat aduan dalam bentuk emel, demi kepentingan dan ketelusan, kami akan meminta mereka datang (ke pejabat) dan kenyataan-kenyataan perlu diambil.
“Kami terima aduan dalam emel itu, tetapi apabila kita hubungi nombor yang diberi dan tanya kepada orang yang mengirim emel itu, dia cakap ‘saya tidak membuat aduan’.
“Jadi kami perlu mengambil masa. Kami tidak mahu membazirkan terlalu banyak masa dengan benda macam ini. Kami amat berhati-hati,” katanya.

