Rahim: 333,000 pekebun kecil bebas miskin tegas
Seramai 330,000 pekebun kecil di seluruh negara kini bebas daripada belenggu kemiskinan tegar dan berjaya mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Katanya, tumpuan Risda kini ialah membantu membebaskan kira-kira 3.8 peratus atau lebih 12,000 pekebun kecil keluar dari kepompong kemiskinan relatif dengan menjalankan pelbagai bantuan tanaman semula.
Mengikut tafsiran, katanya, mereka yang berpendapatan RM520 sebulan adalah miskin tegar, manakala miskin relatif pula mereka yang berpendapatan RM750.
"Kejayaan kerajaan Barisan Nasional membebaskan warga pekebun kecil daripada belenggu kemiskinan tegar membuktikan bahawa dasar kerajaan berjaya menangani masalah itu di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 98 pertubuhan bukan kerajaan serta pekebun kecil seluruh Pahang di Maran semalam.
Rahim berkata, Risda sebagai agensi yang dipertanggungjawab memajukan bidang pertanian, akan terus meningkatkan usaha bagi menaik taraf kehidupan pekebun kecil.
Ini termasuk usaha Risda menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu pekebun kecil maju dalam bidang ekonomi, antaranya projek ternakan kambing, lembu dan ikan.
Selain itu katanya, projek industri kecil dan sederhana dan kraf tangan berasaskan getah juga dilihat boleh menjadi sumber pendapatan baru kepada pekebun kecil kerana barangan berkenaan semakin mendapat pasaran baik di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pekebun kecil supaya menggunakan segala kemudahan termasuk pelbagai bantuan yang diberi, di samping sentiasa mengikut nasihat serta arahan pegawai dan kakitangan Risda dalam mengendalikan kebun bagi mendapat hasil berganda.
- Bernama

