Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
80 bekas pemimpin, ahli PKR Beaufort sertai BN
Diterbitkan:  Jun 7, 2012 5:30 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Seramai 80 bekas pemimpin dan anggota PKR kawasan Beaufort hari ini bertukar haluan menyertai Barisan Nasional (BN) dalam satu majlis khas di Beaufort.

Bekas pemimpin PKR yang juga calon bagi kawasan Parlimen Beaufort dalam pilihan raya umum lepas, Lajim Yusoff berkata keputusan menyertai BN kerana kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang membawa pelbagai pembangunan pesat di negeri ini.

    

"Kami menyertai BN kerana percaya BN betul-betul boleh memajukan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman kerana selama ini kami perhatikan semua projek Sabah khasnya di Beaufort semuanya berjalan lancar.

"Kami tidak percaya lagi kepada parti pembangkang (PKR) yang hanya berangan-angan untuk memerintah negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian Umno kepada Musa di kediaman Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Don di Kampung

Limbawang di Beaufort.

    

Lajim yang pernah menyertai PKR selama lapan tahun itu berkata sewaktu berkempen pada PRU12 lepas, mendakwa pemimpin PKR hanya pandai menaburkan bermacam-macam janji, sebaliknya tidak ditunaikan untuk penduduk kawasan Beaufort.

Beliau berkata tindakannya dan rakan-rakan lain menyertai BN adalah secara sukarela selepas menyedari PKR tidak mempunyai hala tuju jelas  dalam usaha membela nasib rakyat di negara ini.

    

Sementara itu, Musa yang mengalu-alukan penyertaan itu berkata penyertaan bekas penyokong PKR itu membuktikan mereka sedar hanya BN adalah satu-satunya parti yang sentiasa berjuang menjaga kebajikan rakyat terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

"Mereka sedar tiada guna berada dalam pembangkang yang tidak buat apa-apa kebaikan untuk rakyat kerana BN sentiasa berjuang untuk kebaikan rakyat terutama perdana menteri (Najib) yang telah memberi pertolongan dan peruntukan untuk Sabah.

    

"Saya kagum dan senang hati atas kesedaran bekas ahli PKR yang masuk ramai-ramai (Umno) dan saya ucap tahniah dan terima kasih dan saya percaya banyak lagi anggota PKR akan sertai BN pada masa akan datang," katanya.

    

Terdahulu, ketika berucap Musa yang juga anak jati kelahiran Beaufort berkata kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah empangan di bahagian Hulu Sungai Padas iaitu di daerah Keningau, Tenom dan Beaufort bagi mengatasi masalah banjir di daerah Beaufort.

    

"Perkara ini sedang diusahakan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Beaufort kerana saya amat memahami masalah (orang) Beaufort kerana saya juga anak Beaufort dan rakyat Sabah harus buat keputusan tepat dan paling baik berdasarkan track record BN yang berkhidmat dan mendahulukan rakyat di bawah pentadbiran perdana menteri (Najib)," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS