Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan belanja RM42.5j naik taraf Brickfields

Kerajaan membelanjakan RM42.5 juta bagi menaik taraf jalan raya dan membina lima jejantas di Brickfields untuk memberi keselesaan kepada penduduk dan pengunjung di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata RM32.3 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja melebarkan jalan, menaik taraf pejalan kaki dan mengatur semula laluan trafik.

Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Padang Belia, Jalan Vivekananda dan Lorong Chan Ah Tong.

Beliau berkata pembinaan lima jejantas itu pula melibatkan kos RM10.2 juta di mana tiga daripadanya dilengkapi lif bagi kegunaan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kedua-dua projek ini bermula 21 Jun 2010 dan siap 20 Mac lepas. Laluan pejalan kaki yang dinaik taraf mempunyai 'tag' khas untuk OKU buta dan berkerusi roda, kedua-dua projek ini juga dapat memberi keselesaan kepada golongan OKU.

"Kita juga akan bina tempat letak kereta bertingkat 340 lot, kita jangka kerja pecah tanah pada Julai ini. Kita juga sedang membina 'monorel crossing' dijangka siap penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita di Brickfields di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, beliau menghabiskan masa lebih sejam melakukan tinjauan mesra di kawasan Brickfields bagi mengetahui masalah penduduk dan melihat keberkesanan projek itu dalam memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS