Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) perlu menubuhkan unit media sosial untuk mematahkan serangan ajaran baru yang menggugat kesucian ugama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ini kerana Perkim tidak lagi boleh bergantung kepada cara tradisional dalam mematahkan ajaran baru yang boleh menggugat akidah umat Islam, yang disebar menerusi alam maya terutama Internet.

"Di samping memperkemaskinikan dakwah Islamiah, unit media sosial juga boleh memainkan peranan dalam menghadapi pelbagai serangan dari media baru, terutama mereka yang berfahaman pluralisme dan liberalisme," katanya kepada pemberita di Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam di Kuala Lumpur.

Kira-kira 500 saudara baru, termasuk dari China, menghadiri konvensyen sehari itu yang dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jamil Khir berkata media baru, yang sudah terbukti berkesan, boleh juga digunakan untuk melahirkan rasa kecintaan kepada Islam serta melancarkan proses dakwah.

Beliau juga berkata bagi memantapkan usaha dakwah yang dijalankan Perkim, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan kepada geran sedia ada kepada cawangan pertubuhan itu.

Khir juga berkata satu kompleks dakwah untuk saudara baru sedang dibina di Sentul dan dijangka siap kira-kira dua tahun lagi.

Beliau berkata pusat itu, yang dilengkapi kemudahan tempat tinggal, akan memastikan saudara baru terus dibimbing selain memantapkan jiwa Islam mereka melalui kelas agama.

- Bernama