Kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa Nasional menyelar tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggantung pengajian aktivis Khalid Ismath dengan menyifatkannya sebagai usaha terancang memastikan penguasaan pemerintah di kampus-kampus.

Jurucakap kumpulan itu Edikoup Lakip Sediyanto berkata, tindakan "ugutan" itu menggambarkan BN terdesak untuk mempengaruhi undi mahasiswa di universiti.

"Maka begitulah juga cara mereka menyekat kebangkitan gerakan mahasiswa dengan mematikan pergerakan beberapa pimpinan-pimpinan mahasiswa di kampus yang mampu menggalkan perancangan Umno/BN untuk menawan kampus," katanya.

Edikoup juga mengitkan tindakan itu dengan tindakan tatatertib terhadap aktivis mahasiswa di pelbagai universiti sebelum ini, termasuk di Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI) sebelum ini.

UiTM kelmarin menggantung pengajian Khalid Ismath selama setahun setengah.

Beliau dituduh ponteng kelas dan peperiksaan, menulis status di Facebook berkaitan pasukan polis dan ekoran peranannya dalam perhimpunan anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam kenyataannya hari ini, Edikoup berkata, penggantungan itu menyebabkan mereka meragui keseriusan kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik di kampus melalui pindaan seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 baru-baru ini.

"Adakah cara penggantungan ini adalah cara kerajaan membenarkan politik mahasiswa?

"Ini baru soal mahasiswa terlibat politik belum lagi persoalan membawa masuk ahli politik masuk kampus yang mungkin dilakukan mahasiswa untuk kematangan mereka berpolitik ," katanya.

Menurut Edikoup lagi, mahasiswa juga tertanya-tanya bagaimana corak sebenar yang diingini kerajaan untuk mahasiswa berpolitik.