40 anggota keluarga dibenar khusus ikuti aktiviti PLKN
Seramai 40 anggota keluarga kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Batu Jong di Kuala Krai, teruja apabila diberi peluang merasai sendiri aktiviti di kem tersebut.
Mereka diberi kebenaran khusus selama sehari untuk mengikuti dua modul iaitu aktiviti fizikal dan pembinaan karakter.
Rohani Shafein, 47, dari Setiu, Terengganu berkata walaupun diberi peluang mengikuti dua daripada empat modul yang dikhususnya kepada pelatih, ternyata pengalaman sehari di kem tersebut 'membuka matanya' mengenai program PLKN.
Ditanya mengenai perkembangan anaknya Muhammad Aminudin Jamaludin, 18, yang mengikuti latihan di kem itu, beliau gembira dengan perubahan yang berlaku ke atas anaknya walaupun baru menjalani latihan selama sebulan di kem tersebut.
"Saya bersyukur dengan perubahan yang berlaku kerana Aminudin sebelum ini seorang yang pendiam dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakannya.
"Namun, setelah sebulan menjalani latihan di sini dia mula menunjukkan sifat positif dan manjadi semakin peramah dan berdisiplin," katanya ketika ditemui pada Program Pemasyarakatan Kem PLKN di Kem PLKN Batu Jong.
Pelatih sukarela PLKN, Suwaibatul Aslamiah Hasim, 20, dari Batu Jong, Kuala Krai berkata beliau berterima kasih kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang memberinya peluang mengikuti program itu berikutan JLKN pada Mei lalu, membuka permohonan kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mengikuti program tersebut.
Program khas
"Pada mulanya, saya hanya bekerja dengan pengusaha makanan di kem ini dan rasa teruja apabila melihat pelatih lain melakukan beberapa aktiviti.
"Ketika mengambil keputusan STPM baru-baru ini, guru turut memberi sekeping borang berhubung permohonan menjadi pelatih sukarela dan saya terus mengisinya dan tidak menyangka dapat menjalani latihan di kem ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil yang turut hadir pada program itu, berkata pihaknya tidak bercadang untuk menjalankan aktiviti itu di seluruh negara memandangkan telah ada aktiviti bersama keluarga pada hujung minggu.
"Ia adalah program khas yang tidak dijalankan di kem PLKN yang lain dan program tersebut dijalankan atas permintaan ibu bapa pelatih untuk melihat sendiri apa yang dilaksanakan kepada pelatih.
"Kali terakhir program seumpama ini dijalankan adalah pada 2010 setelah JLKN membenarkan anggota keluarga diberi kebenaran untuk melakukan lawatan pada hujung minggu," katanya.
Beliau berharap aktiviti tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan antara JLKN dan para ibu bapa serta masyarakat yang tinggal berdekatan dengan kem PLKN.
Aktiviti air di kem PLKN
Abdul Hadi juga berkata, aktiviti air di kem PLKN yang dihentikan sementara bermula Siri Sembilan, Kumpulan Dua, tahun ini, tidak akan menjejaskan pembinaan sahsiah pelatih.
Abdul Hadi berkata masih terdapat 13 lagi aktiviti fizikal yang masih dijalankan bagi membentuk sahsiah diri pelatih.
"Lagipun masa yang diperuntukkan untuk aktiviti air hanyalah selama tiga hari dan ia akan memberi lebih banyak masa kepada para pelatih untuk menjalani aktiviti fizikal lain dan mampu meningkatkan kemahiran mereka," katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengarahkan semua aktiviti air di kolam semula jadi dihentikan serta-merta berikutan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak, dipercayai akibat jangkitan virus kencing tikus atau Leptospirosis, 12 Mac lalu.
Berikutan itu, JLKN mengarahkan semua pengusaha kem PLKN membina kolam renang bersimen mulai tahun depan, bagi menggantikan kolam semula jadi.
Abdul Hadi berkata aktiviti air itu akan dilaksanakan kembali setelah beberapa penelitian termasuk pandangan daripada pengusaha kem.
"JLKN akan mendapatkan pandangan daripada pengusaha kem kerana ia melibatkan kos yang terpaksa ditanggung mereka," katanya.
Daripada 87 kem PLKN yang beroperasi di seluruh negara, hanya Kem Bumimas di Sibu Jaya, Kuching, memiliki kemudahan infrastruktur serba lengkap, termasuklah sebuah kolam renang bersaiz Olimpik yang disediakan untuk pelatih menjalani latihan air.
- Bernama

