Mukhriz: BERSIH tak beri kesan pada pelaburan
Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu tidak memberikan kesan mendalam terhadap keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.
Katanya, ini kerana dasar ekonomi Malaysia sendiri yang kukuh, lapor agensi berita nasional.
"Namun perlu diingat, sekiranya perhimpunan ini berterusan di masa depan, ia mampu memberi kesan terhadap keselamatan Malaysia seterusnya pelaburan masuk ke negara ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh
Bernama
.
Mukhriz berkata berdasarkan kajian Institute for Management Development (IMD) di Lausanne, Switzeland, Malaysia kini menduduki tangga ke-14 antara negara yang mempunyai ekonomi berdaya saing berbanding kedudukan ke-16 tahun lepas.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang sama juga Malaysia mengekalkan kedudukan kedua daripada negara yang memiliki Nilai Pendapatan Isirumah (GDP Per Kapita) kurang RM60,000 di hadapan negara membangun seperi China dan Chile.
Prestasi lebih baik itu juga turut digambarkan dalam Indeks Keyakinan Pelabur Asing 2012 oleh A.T Kearney di mana kedudukan Malaysia berada di tempat ke-10 berbanding ke-20 pada 2010, katanya.
Sementara itu, Mukhriz juga dilapor memberitahu persidangan Dewan Rakyat, Sabah menerima pelaburan swasta tertinggi pada suku pertama tahun ini, diikuti Selangor, Johor, Sarawak dan Terengganu.
Katanya, pelaburan swasta bagi tempoh itu di Sabah ialah RM10 bilion Johor (RM2.6 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) dan Terengganu (RM1.4 bilion). Angka pelaburan bagi Selangor tidak dinyatakan.

