Pemuda PAS bimbang PM dijatuhkan kerana isu Daniyar

   

Dewan Pemuda PAS bimbang dakwaan bahawa warga Kazakhstan Daniyar Nazarbayev terlibat dalam skandal penipuan AS$20 juta (RM63.6 juta) akan menyebabkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak "dijatuhkan kerana isu remeh dan peribadi."

riduan mohd nor Ketua penerangan pergerakan itu Riduan Mohd Nor berkata dakwaan ke atas bakal menantu Najib itu, termasuk dakwaan memasuki Columbia University menggunakan dokumen palsu, mendukacitakan Pemuda PAS.

"Jika benar dakwaan ini Pemuda PAS berasa sedih kerana PM Malaysia begitu banyak diaibkan di peringkat antarabangsa.

"Sudahlah beliau dikaitkan dengan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM3.1 bilion, bakal menantunya pula kini dituduh menipu," kata Riduan dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dakwaan yang timbul itu seolah-olah menunjukkan bahawa Najib kini "mempunyai terlalu ramai musuh."

"Semua pihak yang memusuhinya mahu sangat beliau tersungkur jatuh sebelum pilihan raya umum ke-13 sehinggakan satu demi satu masalah peribadi beliau dan ahli keluarganya dibongkarkan," kata Riduan.

Katanya lagi, Najib sepatutnya menyiasat latar belakang bakal menantu untuk mengelakkan dakwaan seperti itu, memandangkan perdana menteri kini menjadi perhatian media dan pengamal politik.

"Pemuda PAS tidak berharap beliau dijatuhkan kerana isu remeh dan peribadi yang disebabkan kegagalan beliau mengawal kehidupan keluarganya," kata Riduan lagi dalam kenyataan penuh "dukacita" itu.

Daniyar dalam dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan, Amerika Syarikat mendakwa warganegara Kazakhstan itu menipu bapa tirinya seunit kondominum bernilai AS$20 juta (RM62 juta).

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In