Faekah: Noh akui struktur semula cara terbaik selesai isu air
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar akhirnya mengaku bahawa masalah sebenar air di Selangor kerana keengganan syarikat-syarikat konsesi menerima tawaran kerajaan negeri untuk menstruktur semula perkhidmatan air, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.
"Noh secara tidak langsung mengakui bahawa isu air di Selangor hanya akan selesai jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menstruktur semula bekalan air yang akan memberi perkhidmatan lebih berkualiti, cekap dan pada harga munasabah kepada pengguna di Lembah Klang," kata Faekah dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, menteri pertanian dan industri asas tani itu telah sedar bahawa kekurangan rezab air terawat yang kini dikatakan sekitar 2.4 peratus adalah kerana ketidakupayaan SYABAS dan Puncak Niaga menguruskan rawatan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi.
"Kita amat menghargai keprihatinan Noh yang mengakui penstrukturan semula ini menjadi jalan buntu kerana syarikat konsesi enggan menerima tawaran kerajaan Selangor. Namun begitu, kita mempunyai beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Noh.
"Adakah Noh tahu perjanjian konsesi ini melibatkan tiga pihak di mana kerajaan pusat turut terlibat? Sebagai menteri kabinet dari Selangor, apakah yang telah beliau lakukan untuk memujuk kerajaan pusat membenarkan penstrukturan semula ini diselesaikan seperti yang dikehendaki Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).
"Adakah Noh tahu kerajaan Selangor menawarkan keuntungan 12 peratus kepada syarikat-syarikat konsesi bagi pengambialihan ini yang menepati piawaian antarabangsa? Jika Noh tahu tentang perkara ini, adakah ini bermakna beliau setuju dengan permintaan SYABAS dan Puncak Niaga yang meminta keuntungan sehingga 75 peratus (untuk pengambilalihan) dan akhirnya rakyat terbeban dengan kenaikan tariff air.
"Adakah Noh berani untuk mengakui beliau lebih mengutamakan kepentingan SYABAS dan Puncak Niaga berbanding kebajikan rakyat? Adakah beliau mempunyai sebarang kepentingan atau bersekongkol dengan dua syarikat konsesi ini?" soal Faekah.
Menurutnya, kerajaan pusat pada Januari 2008 telah setuju untuk membenarkan kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air tetapi didakwanya telah membuat ‘u-turn’ selepas Umno/BN kalah pilihan raya umum 2008.
"Dalam isu PTPTN juga Umno telah membuat 'u-turn' tidak sampai 24 jam dengan menjadikan pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL) sebagai tebusan politik.
"Noh juga membuat kenyataan ‘merepek’ apabila mendakwa pembekuan pinjaman PTPTN dirancang lebih awal oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Selangor tidak akan sesekali memperjudikan masa depan generasi muda demi menjamin kelangsungan politik," tegas Faekah.
Malah, tegasnya, kerajaan Selangor tidak perlu pun membuat begitu lantaran sokongan padu rakyat terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai pemimpin yang bersih daripada dakwaan skandal lembu atau scorpene.
"Kita mengaku kewangan Unisel tidak membanggakan kerana menanggung beban hutang yang diwarisi dari kerajaan Umno/BN yang lebih tidak cekap menguruskan pembinaan sebuah universiti kerana mengutamakan kroni.
"Begitupun, kita amat yakin kebijaksanaan serta pengalaman menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dalam pengurusan kewangan akan menjadikan Unisel lebih mantap dan sebaris dengan universiti swasta lain.
"Seperti yang dijelaskan menteri besar, Kerajaan Selangor tetap akan mengapungkan aset Unisel untuk mendapatkan dana bagi menguruskan Unisel dan KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor).

