Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rancangan pengambilalihan konsesi Maju Expressway (MEX) untuk jumlah RM1.7 bilion nampaknya terhenti apabila kerajaan mendakwa ia "tidak pernah memberi kebenaran" ke atas cadangan tersebut.

"Kerajaan tidak pernah memberikan kebenaran berhubung cadangan penjualan konsesi Lebuh Raya KL-Putrajaya kepada EP Manufacturing Bhd," kata perdana menteri.

Najib yang juga menteri kewangan juga berkata, kerajaan masih meneliti beberapa perkara dasar mengenai konsesi lebuhraya itu.

"Oleh itu tidak timbul keperluan untuk kerajaan mengkaji pengambilalihan lebuhraya MEX," kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada MP Petaling Jaya Utara Tony Pua yang menuntut kerajaan menyatakan alasan untuk kebenaran penjualan konsesi berkenaan.

MP DAP itu juga bertanya sama ada konsesi itu boleh diambil alih kerajaan dengan kos RM400 juta mengikut perjanjian konsesi berkenaan.

Laporan pada Mac lalu menyebut, EP Manufacturing akan mengambil alih konsesi tersebut daripada syarikat Maju Holding Sdn Bhd dengan mengeluarkan sukuk bernilai RM1.2 bilion, dan selebihnya daripada pinjaman bank.

Langkah itu menerima kritikan keras bukan sahaja daripada Pakatan Rakyat, malah daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan penjualan konsesi tersebut sebagai tindakan yang sama teruk dengan menjual permit untuk kereta import (AP).

Pakatan mendakwa bahawa pemilik Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamad, bakal mendapat keuntungan RM1.09 bilion daripada urusniaga berkenaan – 1,800 peratus daripada pelaburan awalnya sebanyak RM60 juta.

ADS