Perkhidmatan Awam mempelawa orang ramai mengemukakan sebarang cadangan dan pandangan ke arah penambahbaikan perkhidmatan awam negara.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam, orang ramai boleh mengemukakan segala cadangan dan pandangan dengan melayari http://docs.jpa.gov.my/skmtpa.
Suruhanjaya khas, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, telah bermesyuarat pada 7 Jun dan semalam dengan kesemua enam anggota suruhanjaya menghadirinya.
Tujuan asas penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam melalui penyampaian perkhidmatan berkesan kepada rakyat.
Sementara itu, kenyataan sekretariat suruhanjaya tersebut mengumumkan empat terma rujukan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan awam melalui penyampaian berkesan kepada rakyat.
Menurutnya, terma rujukan itu termasuk merasionalisasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran.
Selain itu, ia juga untuk memperkasa modal insan perkhidmatan awam bagi menyampaikan perkhidmatan yang responsif kepada kehendak pelanggan.
Terma keempat adalah untuk mengutamakan kebajikan penjawat awam dengan memastikan perkhidmatan awam yang lebih fleksibel dan adil.
- Bernama
