Selepas diasak dalam isu perlombongan pasir, kerajaan Selangor melantik exco Transparency International Malaysia (TI-M) Sabtu Md Ali sebagai pengerusi kepada syarikat pengurusan pasir negeri

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Menurut kenyataan sekretariat akhbar negeri, pelantikan Sabtu berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Beliau menggantikan Abdul Shukor Nagor yang meletakkan jawatan pada 29 Ogos tahun lalu.

"Kerajaan Selangor yakin Sabtu akan menyumbang kepada penambaikan pengurusan, ketelusan dan integriti KSSB yang telah menunjukkan prestasi membanggakan sejak ditubuhkan walaupun menerima pelbagai kritikan," menurut kenyataan itu.

Sabtu, 60, pernah bertugas sebagai bekas pengarah bebas bukan eksekutif KSSB sejak Ogos 2011 dan bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai pentadbiran yang baik serta budaya integriti di KSSB.

Pakar strategi perancangan, pembangunan dan pengurusan prestasi itu memiliki sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dalam bidang pembangunan organisasi daripada Ohio University dan sarjana muda Sains (kejuruteraan elektrikal dan elektronik) daripada Universiti Portsmouth, England.

Sabtu memulakan kerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1975 dan pernah memegang pelbagai jawatan di sektor awam serta swasta.

Beliau menubuhkan syarikat Intellectual Inovation Resources Sdn Bhd pada 2007 yang menyediakan khidmat rundingan dan latihan.