Nilai Pembangunan Kasar (GDV) pembangunan komersial yang bakal dilaksana oleh UDA Holdings Berhad di atas tanah Kampung Tanjung Tokong, Pulau Pinang dijangka mencecah RM1.8 bilion.

nur jazlan mohamed 071008 04 Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed berkata pembangunan komersial di atas tanah 8.8 hektar itu meliputi pembinaan bangunan kondominium dan pusat membeli-belah bertaraf antarabangsa.

"Kami berharap dapat melaksanakan pembangunan itu secepat mungkin selepas mendapat kelulusan 'Development Order' (DO) dan menyiapkannya dalam tempoh empat tahun," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta jogathon bagi mengutip dana pendidikan anjuran Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Johor Bahru.

Selain melaksanakan pembangunan komersial, UDA Holdings akan membina blok-blok pangsapuri bernilai RN165 juta bagi menempatkan 1,200 penduduk Kampung Tanjung Tokong, katanya.

Semalam UDA Holdings memeterai Perjanjian Penyelesaian Perumahan Penduduk dengan penduduk kampung berkenaan, sekaligus menyelesaikan masalah yang telah berlanjutan selama 40 tahun.

Nur Jazlan yang juga anggota Parlimen Pulai berkata setiap penduduk kampung berkenaan akan menerima pangsapuri bernilai RM120,000, yang akan dibina di atas tanah asal mereka.

"Perjanjian semalam membuktikan slogan kerajaan 'Janji Ditepati'," katanya sambil menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir pada majlis pecah tanah pembinaan pangsapuri penduduk Kampung Tanjung Tokong itu bulan depan.

Sementara itu Nur Jazlan turut menawarkan kepakaran agensi Kementerian Kewangan itu dalam projek pembangunan semula bandar raya Johor Baharu.

"UDA Holdings mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam projek-projek pembangunan semula bandar. Kami boleh memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk membangunkan semula kawasan tengah bandar Johor Baharu," katanya.

Beliau berkata penyertaan UDA Holdings itu boleh dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri atau agensinya seperti Johor Corporation (JCorp) dalam membangunkan tanah-tanah milik mereka di bandar Johor Baharu.

UDA Holdings turut menawarkan diri untuk menjalin usahasama dengan pihak swasta bagi membangunkan tanah-tanah milik mereka di pusat bandar raya, katanya.

- Bernama