Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan Selangor dan dua lagi untuk mengetepikan saman masyarakat Orang Asli kaum Temuan di Mukim Tanjung Duabelas, Kuala Langat, berhubung aktiviti komersil di tanah yang didakwa diwarisi sejak turun-temurun, termasuk perlombongan pasir.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham memutuskan perkara itu dalam kamar selepas mendengar hujah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili kaum Temuan, Peguam Persekutuan Nik Haizie Azlin Nabidin bagi kerajaan negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta peguam Fida Izrina Izhar bagi Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

    

Mohamed Haniff Khatri, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati terdapat alasan kukuh bagi meneruskan kes tersebut melalui perbicaraan penuh.

    

Beliau berkata hakim juga berpendapat adalah tidak selamat untuk menolak saman itu tanpa mendengar keterangan saksi.

    

Katanya, tarikh perbicaraan akan ditetapkan kemudian.

    

Pada Julai tahun lepas, Penghulu kaum Temuan Malam anak Gerchang, 68, serta dua anak lelakinya, Dewi, 52, dan Jafrin, 41, yang mewakili kira-kira 4,000 penduduk di Mukim Tanjung Duabelas, memfailkan writ saman bagi memohon, antara lain, deklarasi bahawa tanah itu milik masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

    

Plaintif, yang turut diwakili peguam Serene Tan, juga memohon injunksi interlokutori terhadap semua defendan untuk menghentikan segala aktiviti termasuk perlombongan pasir di tanah berkenaan.

    

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa mukim Tanjung Duabelas diisytihar sebagai Hutan Rizab Kuala Langat Utara melalui satu warta kerajaan bertarikh 13 Mei 1927 yang mengandungi, antara lain, hak keistimewaan dan kepentingan khas penduduk Orang Asli.

    

Plaintif mendakwa hartanah seluas 7,160 hektar itu telah diperuntuk sebagai kawasan rezab Orang Asli serta merupakan tanah warisan dan tanah adat yang diwariskan kepada lebih 4,000 penduduk Orang Asli kaum Temuan sejak kira-kira 200 tahun dahulu.

    

Bagaimanapun, mereka mendakwa sehingga hari ini, tanah itu menjadi rebutan beberapa pihak termasuk Kumpulan Semesta sehingga menyebabkan berlaku kegiatan seperti pembalakan dan perlombongan pasir, selain mengakibatkan pencemaran alam sekitar di kawasan kampung.

    

Plaintif juga mendakwa semua defendan gagal menyelesaikan isu hartanah itu termasuk berhubung kedudukan plaintif bagi menjamin masa depan generasi kaum Temuan di tanah berkenaan, serta gagal menghentikan segala aktiviti perlombongan dan pengorekan di tanah tersebut, yang membawa kesan pencemaran.

    

Selain itu, kerajaan negeri Selangor pernah didakwa mencabar mereka untuk membawa isu tersebut ke mahkamah walaupun plaintif berulang kali meminta defendan pertama dan kedua menyelesaikan perkara tersebut.

    

Akibatnya, plaintif mendakwa mereka mengalami kerugian dari segi kehidupan dan kehilangan status asal usul, tradisi serta adat istiadat terhadap tanah itu seperti hilang hasil pendapatan serta kehilangan sumber air dan makanan.   

- Bernama