Pengurus besar Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) Mahadi Mokhtar mencabar supaya media yang melaporkan dakwaan bahawa pegawai kanannya terlibat dalam dakwaan salah laku supaya menamakan pegawai tersebut.

"Sepanjang pengetahuan KGT, tidak ada laporan polis pernah dibuat ke atas mana-mana pegawai kami, khususnya KGT sendiri sebagai sebuah syarikat. Bilangan pegawai KGT juga adalah kecil.

"Sukacita jika nama pegawai berkenaan disebut supaya KGT tidak secara liar dikaitkan dengan gambaran yang salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang timbul ekoran satu laporan Utusan Malaysia semalam yang mendakwa seorang pegawai kanan KGT terlibat dalam dakwaan salah laku.

Laporan itu memetik tiga laporan polis, masing-masing didakwa dibuat oleh seorang pelabur Jepun, Takao Kono, seorang warga Perancis Mohamad Esfih dan seorang bekas pengarah eksekutif KGT, dinamakan sebagai Nik Mahani Mohamad.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata KGT kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang "bagi melindungi integriti dan reputasi KGT" berhubung dakwaan terbabit.

"Saya berharap pihak-pihak berkenaan lebih teliti dan profesional dalam laporan dan kenyataan mereka serta tidak sewenang-wenangnya merosakkan nama baik KGT."

Sementara itu, akhbar Utusan hari ini melaporkan bahawa polis Kelantan telah menerima tiga laporan polis dan memulakan siasatan ke atas dakwaan berkenaan.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial negeri, Mohamed Zulmazi Che Daud dipetik sebagai berkata, unit itu sedang menunggu laporan daripada polis Kuala Lumpur sebelum tindakan selanjutnya.

KGT merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Sementara itu, akhbar The Star hari ini melaporkan kenyataan exco hal ehwal ekonomi Kelantan, Datuk Husam Musa bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan merupakan "politik kotor" pihak tertentu.

Dakwaan itu juga bertujuan untuk memberi gambaran buruk kepada mereka, kata Husam yang menambah, semua dakwaan tersebut merupakan pembohongan.

Husam turut mengalu-alukan siasatan polis ke atas dakwaan tersebut untuk membersihkan namanya dan reputasi syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, tiada seorangpun pegawainya yang telah dipanggil untuk siasatan bagi kes berkenaan, kata Husam dalam sidang media di Kota Bharu semalam.